SAYA percaya ramai akan keliru dengan tajuk sebegini. Apa kaitan artis Budak Baru Nak Up (BBNU) dengan Undi 18 ini? Mari berlapang dada dan jangan cepat melatah. Silakan baca keseluruhan artikel dan cuba memahami isi kandungannya.

Seperti yang diketahui umum, Pindaan Rang Undang-Undang telah diluluskan berkenaan perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan syarat kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.
Pindaan juga telah dibuat berkenaan perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, menurunkan umur warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Pindaan ini merupakan satu kejayaan, pencapaian yang luar biasa apabila seorang Menteri termuda, yang sering melaungkan perjuangan untuk memartabatkan golongan belia, berjaya merealisasikan usul Undi 18 ini.
Lebih luar biasa lagi apabila usaha ini berjaya menyatukan perbezaan latar belakang politik, memperoleh sokongan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat. Syabas diucapkan buat Yang Berhormat Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman!
Semangat yang ditunjukkan oleh YB ini wajar teladani oleh anak muda khususnya. Beliau sangat optimis dalam perjuangan yang berteraskan jiwa muda, memberi petanda bahawa ‘suara’ anak muda tidak boleh diendahkan lagi.
Semangat yang beliau salurkan bergema dan menyeru anak-anak muda supaya lebih peka dengan tanggungjawab sebagai rakyat dengan lebih proaktif dalam menentukan masa depan negara di era Malaysia baharu ini.
Undi 18 ini juga merupakan perlambangan kepada sifat yang lebih inklusif dan dinamik. Diharapkan, ia mampu mencipta masyarakat yang peka dengan pengetahun semasa politik negara terutamanya bagi golongan muda.
Namun timbul beberapa persoalan. Persoalan yang utamanya bukan tertumpu kepada tahap intelektual; matang atau tidak. Untuk mengatakan golongan ini tidak matang, ia akan menjadi perdebatan yang panjang kerana umur bukan pengukur kematangan seseorang.
Jika dilihat dari perkara dan sudut yang berlainan berkaitan pelaksanaan sistem dan undang-undang di Malaysia, berumur 18 tahun boleh dikategorikan sudah memiliki pemikiran rasional. Contohnya, had umur minimum pemegang lesen memandu adalah 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta.
Seawal usia begitu, golongan muda dibenarkan berada di dalam sistem jalan raya yang digunakan oleh pengguna dari pelbagai usia dan tahap intelektual. Sekiranya kita melihat dari analogi yang mudah, seseorang perlu melalui kursus dan latihan memandu sebelum melalui ujiannya.
Sekiranya semua itu dilalui dengan jayanya, barulah layak memiliki lesen memandu dan diberi kebenaran mengendalikan kenderaan di jalan raya dengan sah.
Begitu juga dengan Undi 18 ini. Ia memerlukan satu mekanisme yang mampu mewujudkan kesedaran sivik yang tinggi kepada para belia bagi memudahkan tanggungjawab yang diberikan dijalankan dengan penuh integriti. Di sebalik persoalan berkenaan kematangan, aspek integriti adalah akar umbinya.
Tidak dinafikan golongan belia ini mungkin mudah dipengaruhi dengan elemen radikal dalam politik. Mungkin juga mudah dipengaruhi dengan kecenderungan sokongan politik yang diwarisi, berasaskan kaum dan tradisi keluarga.
Kematangan
Mungkin itu yang menjadi kerisauan bagi sesetengah pihak, yang mana belia yang berumur 18 tahun masih lagi di peringkat pra-matang dari segi pengetahuan dan penilaian politik tanah air.
Agensi-agensi yang berkaitan secara langsung dengan pelaksanaan Undi 18 sudah pasti akan membuat persiapan dan persediaan yang rapi bagi memastikan golongan muda diberi pendedahan yang sebaiknya.
Pihak yang terlibat secara tidak langsung seperti masyarakat umum juga perlu memainkan peranan.
Semua lapisan masyarakat, tidak kiralah apapun status sosial perlu proaktif dalam memenuhi tanggungjawab sosial ini demi kebaikan negara yang tercinta.
Melihat isu ini dari perspektif sebagai anak seni, para artis yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat perlulah melihat ini sebagai satu tanggungjawab sosial yang perlu dipenuhi.
Seperti yang berlaku pada PRU yang lepas, parti-parti politik sering ‘menyantuni’ penggiat seni demi mendengar permasalahan atau apa jua penambahbaikan yang perlu dilakukan di dalam industri seni tanah air secara amnya.
Jika diamati dengan teliti situasi tersebut, penggiat seni adalah agen sosialis yang mempunyai kuasa tersendiri di dalam masyarakat. Kebersamaan mana-mana parti politik dengan agen sosialis ini merupakan satu promosi yang baik bagi memperluaskan kuasa dan agenda politik.
Berbalik kepada Undi 18, artis BBNU boleh dianggap sebagai representasi terbaik bagi golongan muda. Kelebihan mempunyai pengikut yang ramai di media sosial memberi kelebihan pada mereka untuk melakukan tanggungjawab sosial, mempromosikan Undi 18 kepada peminat mereka yang secara amnya sama dari lingkungan umur, bagi meningkatkan kesedaran akan tanggungjawab ini.
Walaupun (mungkin) cerita Undi 18 ini sudah berlalu, namun ia seharusnya sentiasa ‘dilaungkan’ sebagai peringatan kepada golongan muda bahawa mereka juga mempunyai kuasa demokrasi dalam menentukan hala tuju negara.
Diddy Hirdy merupakan penyanyi yang dicungkil bakat menerusi rancangan Akademi Fantasia musim keempat. Dia kini sedang menyambung pelajaran ke peringkat PhD dalam bidang Muzik di University Of Liverpool.











