KUALA LUMPUR – Rakyat melahirkan keinginan untuk merasai sendiri air tangan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang terkenal sebagai seorang yang meminati dan mahir dalam bidang masakan.
Raja Permaisuri pernah menghasilkan tiga buah buku masakan iaitu Air Tangan Tengku Puan Pahang yang diterbitkan pada tahun 2007 dan Air Tangan Tengku Puan Pahang Manisan Tradisional Pahang serta Buku Masakan Tradisional Pahang yang dilancarkan pada 2018.
Seorang peniaga, Nur Yasmin Aisyah Mohd. Noor, 26, berkata, mungkin pihak istana boleh mengadakan satu keraian agar rakyat berkesempatan merasai resipi atau hidangan yang disediakan Raja Permaisuri.
“Tunku Azizah dilihat banyak mempelajari tentang budaya negeri Pahang selepas berkahwin dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus membudayakan warisan negeri.
“Sebagai contoh, baginda cukup mahir dengan masakan tradisional Pahang termasuk menyediakan pencuci mulut puding raja.
“Sebagai rakyat Pahang yang sentiasa mengikuti perkembangan baginda, saya menyimpan keinginan untuk bertemu Tunku Azizah ataupun merasa sendiri hasil masakan Raja Permaisuri itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-bau ini.
Sementara itu, seorang pelajar, Nur Aini Musa, 22, menyifatkan darah diraja yang mengalir dalam diri Tunku Azizah tidak menjadi penghalang untuk mendekati rakyat.
“Baru-baru ini, Raja Permaisuri berkenan memilih kain Tenun Pahang Diraja sebagai persalinan baginda pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini. Itu menunjukkan sifat berjiwa rakyat yang ada dalam diri Tunku Azizah.
“Bukan setakat itu sahaja, rekaan kain tenun tersebut juga diilhamkan oleh baginda sendiri dan turut melibatkan hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong di Pahang,” katanya.
Kemuliaan hati baginda juga terserlah apabila turut bertitah, hasil upah menenun kain itu akan diagihkan kepada penghuni penjara berkenaan sekali gus berharap kemahiran menenun akan dapat diperluaskan bagi memelihara warisan dan tradisi Melayu.











