1. Sewajarnya UMNO dan Setiausaha Agungnya Tan Sri Annuar Musa khususnya tidak cakap berdegar degar, ekor bergelumang tahi.
2. Bukankah disebabkan ‘hujah yang berdegar degar dan keyakinan yang melampau itulah’ penyebab utama jentera UMNO sebelum
PRU 14 gagal membaca denyut hati rakyat dan akhirnya selepas 73 tahun diasaskan, parti itu tumbang?
3. Tewas pula bukan kepada Pakatan Harapan dalam erti kata sebenar, TETAPI kepada parti yang baru setahun jagung iaitu Bersatu yang diterajui oleh seorang yang begitu masak pengalamannya, yakni negarawan terbilang diiktiraf rakyat Malaysia dan dunia, Tun M.
4. Annuar dan UMNO jangan berlagak angkuh. Selami dan hayatilah seruan Tun M kerana apabila Tun M mengungkapkan sesuatu yang besar terutama soal perpecahan dan perpaduan orang Melayu, beliau biasanya dapat ‘membaca’ dua tiga tapak ke depan apa yang bakal berlaku meskipun akhirnya segala ketentuan kita orang Melayu berserah kepada-Nya.
5. Justeru, marilah Annuar dan semua kepemimpinan UMNO berlapang dada, berjiwa besar menyahut seruan Tun M untuk membawa seluruh orang Melayu menyertai Bersatu.
6. Dengan itu, kita doakan supaya pesanan Tun M yang berulang kali mengingatkan dalam sajaknya “Melayu Mudah Lupa” dapat diakhiri dengan komitmen jiwa besar UMNO ini. – UTUSAN ONLINE











