KUALA LUMPUR 23 Julai – Tuduhan sesetengah pihak terhadap logo kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang baharu dilancarkan semalam sebagai ciplak dan mempunyai kesilapan tata bahasa bukan sahaja tidak berasas, malah merupakan orang yang kurang pandai.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ini kerana logo tersebut dihasilkan oleh pekera grafik yang hebat selain memiliki ijazah kelas pertama dalam bidang yang sama.
Tegasnya, tiada amalan plagiat yang dilakukan pereka grafik berkenaan dalam menghasilkan logo tersebut.
“Orang yang mendalami bahasa Inggeris akan tahu apa maksud yang ditulis kerana dia orang yang pintar, tetapi kalau dia hanya setakat membaca dan tidak memahami, itu orang yang belum pandai.
“Sama juga isu ciplak, pereka grafik yang mencipta logo ini memperoleh ijazah kelas pertama dan dia juga pernah menerima anugerah dalam rekaan grafik. Jadi tiada sebab orang pandai seperti ini untuk meniru dan dia tidak akan memalukan diri-sendiri hanya kerana mahu meniru,” katanya hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan pameran Reproduksi Leonardo Opera Omnia yang pertama kali diadakan di Balai Seni Negara, di sini.
Sebelum ini tular dalam media sosial mengenai logo rasmi kempen TMM 2020 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam dikatakan sebagai ciplak kerana menggunakan ubah suai stok grafik Shutterstock selain mempunyai kesalahan tata bahasa pada slogannya. – UTUSAN ONLINE











