KUALA LUMPUR 23 Julai – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini membuat penerbangan ihsan membawa seorang pesakit berumur 42 tahun yang menghidap penyakit saccular anterior communicating artery anuerysm dari Lapangan Terbang Tawau ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu bagi menjalani pembedahan segera di Hospital Queen Elizabeth II.
TUDM dalam kenyataan berkata, pesakit, Roslan Marjan diterbangkan menggunakan pesawat milik TUDM jenis helikopter S61A-4 (Nuri).
“Pesawat dikendalikan oleh juruterbang, Mejar Muhamad Rusli Wan Sulaiman dan Kapten Ahmad Hazman Jaafar selaku pembantu juruterbang serta dibantu oleh dua kru.
“Pesawat berlepas pukul 9.25 pagi dan selamat mendarat pada pukul 10.45 pagi dan terus dibawa ke hospital menggunakan ambulan untuk menerima rawatan.
“Adalah menjadi tanggungjawab TUDM dalam memberi komitmen serta kesungguhan yang tinggi untuk memenuhi kebajikan masyarakat seumpama ini,” kata kenyataan itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











