Tindakan afirmatif untuk kepentingan semua kaum - Utusan Malaysia

Tindakan afirmatif untuk kepentingan semua kaum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang melaksanakan satu tindakan afirmatif yang membolehkan dasar ekonomi dinikmati oleh semua kaum dan tidak hanya menguntungkan kepada kaum-kaum tertentu sahaja.

Presiden PKR. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini perlu dilaksanakan dengan komitmen yang jitu yang turut menuntut penglibatan sektor kerajaan dan swasta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson malah memberitahu, kaedah pengagihan atau peruntukan wang dari kerajaan kepada rakyat juga harus berubah yang mana sedang dilakukan kerajaan pada waktu ini dan sedang dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak Dasar Ekonomi Baharu (DEB) namun, tetap memelihara perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Selepas merdeka lebih 61 tahun, kita perlu tingkatkan kesedaran bahawa Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan perlu dilihat sebagai satu komuniti dengan hak keistimewaan yang saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan’ di Parlimen di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md. Yusof dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Tambah Anwar, dasar ekonomi yang tidak berasaskan kaum itu juga akan menjadi antara keutamaannya jika diberi peluang untuk memimpin negara suatu hari nanti.

“Apa yang saya perlukan ialah mempercepatkan prosesnya. Tetapi, saya sama, jika pun tidak lebih komited dari segi mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan kedudukan orang miskin dan menyekat kapitalisme yang tidak terkawal dengan menolong hanya segelintir konglomerat dan menafikan majoriti ramai.

“Ia bukannya program Anwar, tetapi ia program PH, yang telah dimulakan di bawah Dr. Mahathir,” Katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini