PUTRAJAYA 24 Julai – Tender terbuka yang kompetitif dan belanjawan asas sifar telah memberikan kesan positif terhadap keadaan kewangan kerajaan sekali gus membolehkan perbelanjaan pembangunan naik sehingga 13 peratus atau RM2.4 bilion untuk lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2018.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sepanjang lima bulan pertama tahun ini, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal sebanyak 39 peratus kepada RM21.4 bilion daripada RM35.0 bilion dalam tempoh sama sewaktu 2018.
“Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari perbelanjaan subsidi yang ditanggung dan akan terus menguruskan perbelanjaan secara berhemat.
“Tambahan lagi, kerajaan telah mengurangkan defisit akaun semasa kepada RM1.1 bilion dari Januari hingga Mei 2019 iaitu penurunan 94 peratus atau RM16 bilion daripada jumlah defisit besar iaitu RM17.1 bilion pada tempoh yang sama ketika tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Guan Eng menjelaskan, kejayaan langkah konsolidasi fiskal merupakan antara faktor meyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa Fitch Ratings untuk mengesahkan semula penarafan kredit berdaulat pada A- dengan unjuran stabil pada 18 Julai lalu di samping pengesahan semula oleh badan S&P Global Ratings awal bulan ini.
Ujarnya, displin fiskal yang diketatkan dengan gabungan kawalan lebih kukuh terhadap perbelanjaan mengurus melalui penggunaan tender terbuka secara lebih meluas serta pengenaan belanjawan asas sifar.
“Selain itu, langkah-langkah pembaharuan pendapatan dan perbelanjaan lain yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2019 juga membantu pemulihan kewangan kerajaan.
“Seperti diumumkan sebelum ini, kerajaan bercadang membelanjakan RM259.9 bilion untuk tujuan pengurusan tahun ini dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM106.5 bilion dalam tempoh Januari hingga Mei lalu merupakan 41.0 peratus daripada jumlah diperuntukan,” ujarnya.
Selain itu, Guan Eng menambah, kerajaan yakin dapat mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memastikan imbangan akaun semasa berada dalam keadaan lebihan untuk tahun 2019.
“Malah sekiranya tiada perang perdagangan antara dua rakan dagang Malaysia yang terbesar iaitu Amerika Syarikat dan China, Kementerian Kewangan percaya kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit serendah 3.0 peratus berbanding KDNK bagi 2020.
“Kerajaan yakin ekonomi negara akan berkembang secara mampan pada tahun ini dan hadapan, malah Bank Dunia mengunjurkan KDNK negara akan tumbuh 4.6 peratus tahun ini dan ia disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh walaupun negara berhadapan dengan cabaran luaran iaitu perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Sehubungan itu, Guan Eng menegaskan kerajaan kini berada di landasan betul dalam memulihkan keadaan kewangan kerajaan selewat-lewatnya 2021 dan di samping sokongan rakyat, Malaysia berpotensi besar menyelesaikan masalah legasi hutang dan liabiliti serta kegagalan tadbir urus ditinggalkan oleh pentadbiran lama.-UTUSAN ONLINE











