KUALA LUMPUR 26 Julai- Sebanyak 39 gadis pelayan (GRO) warga Thailand ditahan polis dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Kota Damansara di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam itu dijalankan oleh sepasukan polis Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil maklumat dan risikan.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Azmi Shukor berkata, semasa serbuan, kesemua GRO berusia antara 20 hingga 30 tahun itu sedang leka melayan pelanggan minum dan berhibur.
Katanya, apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri, namun tindakan itu gagal.
”Siasatan mendapati pusat hiburan tersebut dipercayai menggajikan GRO warga asing untuk menarik pengunjung.
“Pemeriksaan mendapati kesemua mereka memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azmi berkata, pemeriksaan mendapati, premis terbabit menyediakan selimpang berharga RM100 hingga RM500 kepada pelanggan bagi meraih perhatian GRO berkenaan.
Tambahnya, turut ditahan adalah dua pekerja warga Bangladesh serta dua penjaga premis warga tempatan.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN ONLINE











