SEREMBAN 23 Julai – Penduduk di kawasan perumahan Lavender Heights di Senawang, dekat sini hari ini, dikejutkan dengan kehadiran seekor tapir yang dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Kapten Md. Fadir Md. Nor berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari apabila haiwan tersebut memasuki halaman rumah penduduk.
Katanya, orang ramai kemudian menghubungi pihaknya untuk mendapatkan bantuan.

“Seramai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 12.35 tengah hari.
“Pasukan ini berjaya mengurung haiwan berkenaan di dalam sebuah rumah penduduk sebelum kami menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pasukan Perhilitan bersama APM kemudian memerangkap tapir ke dalam sangkar dan dipindahkan ke lokasi selamat.
Beliau berkata, haiwan berkenaan tidak mendatangkan kecederaan kepada orang ramai. – UTUSAN ONLINE











