Tahap kesedaran memiliki pensijilan MSPO masih rendah - Teresa Kok - Utusan Malaysia

Tahap kesedaran memiliki pensijilan MSPO masih rendah – Teresa Kok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR 23 Julai – Jumlah penanam sawit di negara ini yang melaksanakan pematuhan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi meningkatkan profil tanaman itu di pasaran global masih pada tahap rendah, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2018 – Ahli Parlimen Seputih Teresa Kok, pada sidang akhbar di Sidang Dewan Rakyat, di Bangunan Parlimen, di sini hari ini. GAMBAR: SAIFUL BAHARI ASHARI /PEMBERITA: SYUKRI RAMLI /SHEILA RANI (MEJA AM UTUSAN MALAYSIA)/ REZA (MEJA AM KOSMO).NOTATERBITANUTUSAN MALAYSIA4 JULAI 2018RABUMUKA 15Archived By SUE

Beliau berkata hanya 42 peratus iaitu 2.45 juta hektar daripada 5.85 juta hektar kawasan tanaman sawit di negara ini telah memperoleh pensijilan itu sehingga 30 Jun lepas meliputi 2.1 juta hektar ladang dan 386,000 hektar milik pekebun kecil, manakala bagi kilang sawit pula sebanyak 244 kilang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Minyak sawit yang tidak memiliki pensijilan MSPO mungkin akan ditolak oleh kilang untuk pasaran khususnya untuk dieksport dan dianggap sebagai minyak sawit kelas kedua bermula pada tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat MSPO Penanam Sawit Perak di sini, hari ini.

Kok berkata 124 daripada 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara telah memperoleh pensijilan MSPO yang melibatkan penyertaan 12,000 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun 46,000 hektar bagi tempoh sama.

Bagi Perak, 15 daripada 23 SPOC berjaya memiliki sijil MSPO melibatkan 1,830 pekebun kecil persendirian dengan kawasan 4,778 hektar namun keluasan itu masih terlalu rendah iaitu hanya 3.7 peratus daripada jumlah keluasan tanaman sawit pekebun kecil persendirian seluas 128,000 hektar di negeri itu, katanya.

Beliau berkata antara punca masih ramai pekebun kecil tidak memohon pensijilan MSPO adalah kebimbangan dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dalam pada itu ada juga sengaja melambatkan pemilikan MSPO kerana kos pelaksanaannya.

“Mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan telah menyediakan bantuan penuh kepada pekebun kecil persendirian melaksanakan pensijilan MSPO merangkumi kos, antaranya yuran pensijilan dan latihan berkaitan,” katanya.

Kok berkata pekebun kecil yang tidak memiliki pensijilan MSPO sebelum akhir tahun ini tidak akan berpeluang menikmati insentif kerajaan dan tidak dibenarkan menjual minyak sawit dengan harga lebih tinggi berikutan harga komoditi itu dijangka tinggi tahun depan.

Sementara itu, beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya mengkaji semula untuk memasukkan sukatan mengenai khasiat minyak sawit ke dalam buku teks sekolah.

“Saya telah menghantar surat kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan beliau setuju… dan diharapkan khasiat minyak sawit dapat dimasukkan dalam salah satu bab mata pelajaran di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Kok berkata pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan berhubung kelulusan bantuan skim pinjaman dan penanaman semula sawit bagi pekebun kecil. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini