KUALA LUMPUR 25 Julai – Lembaga Tabung Haji mencatat prestasi dan kedudukan kewangan semakin baik bagi separuh pertama tahun ini, dipacu strategi pelaburan mapan dan langkah pengurusan kos yang berhemat.
Menurut Tabung Haji, bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini ia memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 bilion, dijana terutama daripada pelaburan aset pendapatan tetap (RM663 juta), pelaburan hartanah (RM292 juta) dan instrumen pasaran wang Islam (RM199 juta).
Katanya, keuntungan bersih juga meningkat kepada RM815 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.
“Pendapatan Tabung Haji dijangka terus meningkat apabila Tabung Haji akan menerima manfaat penuh daripada Sukuk Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang telah diterbitkan pada 30 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 30 Jun 2019, kedudukan kewangan Tabung Haji kekal kukuh apabila jumlah aset melebihi liabiliti sebanyak RM1.8 bilion, dengan jumlah aset RM74 bilion manakala jumlah liabiliti RM72.2 bilion. – UTUSAN ONLINE











