Tabung Dana UMNO bakal dilancar - Utusan Malaysia

Tabung Dana UMNO bakal dilancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini memutuskan untuk melancarkan Tabung Dana UMNO bagi pembiayaan, pengurusan pentadbiran dan aktiviti parti itu sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata, ini merupakan pertama kali tabung tersebut atau crowd funding ditubuhkan oleh UMNO bagi tujuan pembiayaan parti tersebut.

Menurut beliau, Majlis Tertinggi juga telah memutuskan bahawa sebuah badan profesional akan bersama-sama dengan UMNO menguruskan dana berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami akan melancarkannya dalam waktu terdekat yang akan diumumkan nanti supaya kelangsungan aktiviti politik dapat dilaksanakan melalui penubuhan Tabung Dana UMNO ini.

“Ya. Ini pertama kali crowd funding ditubuhkan kerana kekangan terbesar yang kami hadapi sekarang ini adalah dari segi pembiayaan aktiviti politik akibat daripada pembekuan, penyitaan, dan beberapa tindakan perundangan yang tidak adil kepada UMNO dengan tuduhan-tuduhan di luar norma perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini petang tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya merasakan Tabung Dana UMNO bukan sahaja perlu dibuka kepada ahli-ahli dan kepimpinan parti berkenaan tetapi, harus juga dibuka kepada orang ramai yang mahu membiayainya kerana bersimpati dengan UMNO.

“Kami mahu mengumpulkan seberapa banyak dana yang boleh. Kami mahukan (dana) itu bagi persediaan bukan sahaja untuk aktiviti UMNO, apa yang lebih penting adalah untuk persediaan PRU-15.

“Kami ada badan profesional untuk menguruskan dana itu dan sudah tentu mereka akan meneliti sumber dana tersebut sebelum disalurkan kepada Tabung Dana UMNO,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini