Sumbangan lembu korban kenduri gelandangan - Utusan Malaysia

Sumbangan lembu korban kenduri gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Tiga NGO iaitu Aku Anak Chow Kit, Laskar4Life dan Komuniti Jalan Abdul Rahman Idris tampil lagi dengan projek Kenduri Korban dengan kerjasama Sekolah

Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit.

Acara tahunan sejak 2015 diteruskan bagi memastikan 143 pelajar SBJK diraikan dengan suasana Aidil Adha.

Memuatkan artikel berkaitan…

SBJK dibuka pada 19 Ogos 2013 dengan inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM). Lokasinya di nombor 39, Lorong Haji Hussein 2, Chow Kit, Kuala Lumpur.

Matlamat utama penubuhan sekolah ini untuk memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan perlindungan anak-anak gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Azizan Ali.

SBJK juga menempatkan remaja bermasalah yang tercicir dan gagal meneruskan persekolahan. Kewujudan sekolah ini magik bagi Chow Kit.

“Kami anjurkan setiap tahun dengan semangat untuk memastikan pelajar meraikan suasana Raya Korban tanpa disisihkan,” kata aktivis Aku Budak Chow Kit, Azizan Ali.

Azizan dan Aku Anak Chow Kit aktif sepanjang tahun dengan pelbagai projek amal.

Fokus utama ialah projek membantu anak-anak dan keluarga gelandangan sekitar Chow Kit mendapat akses makanan.

“Chow Kit lokasi utama gelandangan. Cuma kanak-kanak paling terdedah pada bahaya. Di sini dadah dan jenayah masih wujud. SBJK penting untuk melindungi kanak-kanak ini,” kata Azizan yang sudah tujuh tahun aktif dengan Komuniti Jalan Abdul Rahman Idris.

Setiausaha Laskar4Life, Aniza Mehboob Shah berpendapat, kebajikan pelajar SBJK antara tanggung jawab aktivis sosial di kawasan Chow Kit.

“Sekolah ini dalam kawasan kami mencari rezeki sebagai peniaga, jadi wajar SBJK dijaga kerana ia berada dalam kariah kami,” katanya.

Aniza Mehboob Shah

Cabaran utama projek Kenduri Korban tahun ini ialah mendapatkan dua ekor lembu. Sejak sebulan lalu, pelbagai pihak sudah dihubungi untuk menaja lembu

korban, namun masih tiada jawapan.

“Sekarang perniagaan agak merosot. Sukar mendapatkan sumbangan. Kami peniaga Chow Kit berjaya kumpulkan RM5,000 untuk kos kenduri dan keperluan lain,” kata Aniza.

Pelajar SBJK kebanyakkan anak gelandangan atau remaja yang tercicir sekolah harian kerana isu kemiskinan.

Di sekolah ini, pelajar dilatih kemahiran alternatif terutama dalam bidang seni, muzik dan masakan.

Projek Korban Raya akan memberikan peluang kepada remaja berusia 13 hingga 18 tahun ini mengendalikan ibadah korban termasuk membantu kerja sembelihan, melapah dan memasak.

“Kami juga menjemput gelandangan dan komuniti sekitar Chow Kit untuk turut serta bergotong-royong dan makan kenduri sempena Aidil Adha. Ini proses membina siratulrahim antara pelajar dan masyarakat setempat,” kata Azizan.

Kepada yang sudi membantu boleh menghubungi Aniza di nombor 0163677177. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini