MEKAH 22 Julai – Di sebalik cuaca panas melanda tanah suci Mekah hingga mencecah 51 darjah Celsius semalam, jutaan umat Islam dilihat semakin membanjiri tanah suci Mekah untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, trend perubahan cuaca menunjukkan suhu di sekitar tanah suci ini semakin meningkat setiap hari dan jemaah perlu memberi perhatian kepada perkara tersebut.
“Purata suhu setiap hari adalah dalam lingkungan 31 hingga 49 darjah Celsius dan mencapai suhu tertinggi 51 darjah Celsius semalam,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sudah tentu, katanya, jemaah akan menghadapi cuaca yang lebih mencabar apabila berada di Arafah dan Mina kerana mereka akan tinggal di dalam khemah.
Seperti biasa, beliau berkata, jemaah dinasihatkan tidak terlalu terdedah kepada cuaca tersebut di waktu tengahari dan perlu banyak minum air. – UTUSAN ONLINE











