SUARA wanita tidak termasuk dalam kategori aurat dan boleh didengari oleh lelaki bukan mahram jika ada kepentingan seperti mengajar, memberi ucapan dan dalam perbincangan.

Islam tidak menghalang wanita untuk menunjukkan kebolehannya dalam bidang tertentu. Contohnya seperti berucap selagi tidak bercanggah dengan panduan yang ditetapkan oleh Islam.
Perkara ini dibuktikan dalam beberapa contoh iaitu pada zaman Rasulullah SAW, terdapat wanita yang bertanya kepada baginda berkaitan hukum-hakam dalam majlis ilmu yang dihadiri oleh lelaki.
Rasulullah SAW bagaimanapun tidak melarang mereka menghadiri majlis ilmu tersebut.
Namun demikian, Islam telah menetapkan garis panduan hubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram supaya tidak melampaui batas.
Suara wanita akan menjadi haram jika sengaja dilunakkan, menggoda dan mendesah sehingga menimbulkan keghairahan serta menaikkan nafsu lelaki yang mendengarnya.
Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “…Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (al-Ahzab: 32)
Justeru, wanita tidak patut melakukan ucapan yang dapat mendatangkan keghairahan lelaki. Islam melindungi wanita daripada dijadikan bahan pemuas nafsu lelaki.
SUMBER Buku 25 Soal Jawab Martabat Wanita Dalam Islam











