SEREMBAN 25 Julai – Sepasang suami isteri warga emas ditemukan mati dengan kesan tikaman dan kelar di sebuah rumah yang dipercayai dibakar di Taman Desa Melati, Nilai di sini malam tadi.
Mayat Tan Kim Joo, 73, dan isterinya, Ng Chong Hwa, 64, dijumpai pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai yang memadamkan kebakaran di rumah teres dua tingkat itu pada pukul 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mayat Kim Joo yang merupakan bekas jurutera di Banting, Selangor ditemukan tertiarap di lantai bahagian dapur dengan kesan luka di pergelangan tangan kiri dan lengan kanan serta cedera di dahi kanan.
Katanya, mayat isterinya yang juga pesara guru ditemukan di ruang stor di bahagian sebelah kiri dapur dengan kesan luka tikaman di dada dan luka di lengan kiri.

“Pemeriksaan di bahagian dapur dan stor terdapat kesan darah di lantai serta dua kotak mancis di hadapan pintu masuk stor.
“Pasangan warga emas itu tinggal berdua di rumah itu sejak kira-kira 10 tahun lalu dan siasatan kejadian itu dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.18 malam.
Menurut kenyataan itu, pasukan bomba mendapati pintu dapur rumah teres dua tingkat berkenaan tidak berkunci semasa tiba di lokasi pada pukul 9.30 malam.
Katanya, semasa operasi memadam kebakaran dilakukan satu mayat lelaki dijumpai di dapur manakala mayat wanita di ruang stor bahagian dapur dan pihak bomba memaklumkan penemuan mayat itu kepada polis. – UTUSAN ONLINE











