KEPALA BATAS 26 Julai – Polis berjaya menahan sepasang suami isteri yang terlibat dalam kegiatan pecah masuk dua buah kedai di sini selepas menyerbu sebuah rumah tumpangan di Kulim, Kedah semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, suami isteri masing-masing berusia 29 dan 26 tahun yang juga positif dadah ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) ketika kedua-duanya berada di dalam salah satu bilik yang disewa di rumah tumpangan itu.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan berhubung kejadian pecah masuk sebuah kedai emas Korea di Kepala Batas dan kedai telefon bimbit di Tasek Gelugor baru-baru ini.
“Mereka dipercayai melakukan kegiatan pecah rumah sejak dua bulan lalu dengan memecah masuk ke premis perniagaan pada waktu malam.
“Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar IPD SPU di sini hari ini.
Menurut Noorzainy dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 97 utas rantai tangan, 198 bentuk cincin dan 25 bentuk loket warna kekuningan disyaki emas Korea selain 53 bentuk cincin berwarna putih.
“Turut dirampas adalah 40 utas jam tangan pelbagai jenama dan 32 unit telefon bimbit pelbagai jenama
“Kedua-dua suspek telah menyewa rumah tumpangan tersebut sejak April lalu dan sering bertukar-tukar bilik bagi menyimpan barangan yang dicuri,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai yang digunakan untuk melakukan kegiatan pecah kedai, tiga unit topi keledar, sebuah motosikal jenama SYM dan lain-lain barangan yang menjadikan jumlah rampasan bernilai RM30,000.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE











