SHAH ALAM 23 Julai – Status pemulihan bekalan air di tujuh wilayah terjejas di negeri ini susulan gangguan bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dan LRA Rantau Panjang berada pada tahap pemulihan 77 peratus sehingga pukul 6 pagi tadi.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, bagi wilayah Kuala Lumpur bekalan air telah pulih sebanyak 82 peratus, manakala wilayah Petaling adalah 70 peratus.
“Sementara, untuk wilayah Klang/Shah Alam pula, 75 peratus bekalan air sudah pulih manakala bagi wilayah Kuala Selangor telah mencapai 90 peratus.
“Bagi bekalan air di wilayah Hulu Selangor mencapai 40 peratus, sementara di wilayah Gombak mencapai 94 peratus dan bagi Kuala Langat pula hanya 39 peratus sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 1,191942 akaun di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas ekoran pencemaran minyak diesel di sumber air mentah Sungai Selangor dan Rantau Panjang.
Jelas Abdul Raof, pihaknya menyasarkan bekalan air di wilayah di Kuala Selangor dan Hulu Selangor akan pulih sepenuhnya selewat-lewatnya esok sehingga pukul 6 petang.
“Manakala, bagi wilayah Gombak pada Khamis, manakala Kuala Lumpur, Klang/ Shah Alam pula pada Jumaat masing-masing waktu yang sama sementara Petaling dan Kuala Langat pula Sabtu kira-kira pukul 9 pagi.
“Kita ingin memaklumkan bahawa proses pemulihan bekalan air secara berperingkat sedang dijalankan. Bantuan lori tangki air masih digerakkan dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yanh beroperasi 24 jam terus beroperasi bagi menyalurkan bantuan hingga bekalan pulih sepenuhnya,” ujarnya.
Tambahnya, pelanggan yang terjejas juga boleh mendapatkan bekalan air melaui pili-pili awam yang disediakan.-UTUSAN ONLINE











