UTUSAN: Adakah Prof. bersetuju dengan cadangan menubuhkan SMJK Tamil?
KOK SEONG: Ia sesuatu yang tidak kena. Dalam keadaan kita sedang ada masalah dengan sekolah vernakular di peringkat sekolah rendah, sekarang ada permintaan untuk mewujudkan SMJK Tamil yang akan menggunakan bahasa pengantar Tamil. Saya rasa pada zaman ini, amat tidak sesuai.
Mengapa SMJK Cina boleh tetapi tidak SMJK Tamil?
SMJK Cina sudah wujud sejak sebelum merdeka lagi. Pada waktu penjajahan, sewaktu kemerdekaan, ia sudah wujud. Sewaktu kemerdekaan telah wujud 86 sekolah menengah Cina, sekolah menengah Tamil tak ada satu pun.
Adakah patut kita wujudkan lebih banyak sekokah vernakular?
Saya rasa sudah memadai pendidikan vernakular pada tahap yang diizinkan kerajaan. Kalau sekolah persendirian Tamil, itu cerita lain. Itu dibenarkan dalam Akta Pendidikan 1996 atas landasan sekolah swasta.
Kita tak boleh sekat sebab negara kita demokrasi dan dasar pendidikan kita liberal. Tapi kalau nak wujud atas biaya kerajaan, itu tiada saluran pun. Sekolah menengah kerajaan itu, bahasa pengantarnya bahasa Melayu.
Sebenarnya apa yang diperlukan masyarakat India untuk menaik taraf kehidupan?
Pertama, sikap mereka dan kedua, bantuan kerajaan. Masyarakat India perlu ada sikap untuk lebih maju. Sebelum ini kita tahu, walaupun ada parti politik yang membela mereka, terbukti bahawa mereka tak terbela pun. Untuk mereka maju, bukan semestinya mereka perlu pendidikan dan kemajuan dalam bahasa Tamil. Banyak contoh di negara kita mereka boleh maju dengan bahasa Melayu. Mereka hanya perlu bantuan ekonomi dan bantuan pendidikan.
Jadi, kewujudan SMJK Tamil akan beri kesan buruk kepada perpaduan?
Agak sensitif untuk cakap SMJK menjadi sebab retaknya perpaduan. Bagi saya, dia ada lingkaran. Contohnya, anak Cina yang belajar di sekolah Cina, mereka belajar tiga bahasa tetapi hanya pandai bahasa ibunda. Jadi, apabila mereka baca surat khabar pun, surat khabar Cina.
Tonton televisyen pun, rancangan Cina. Bergaul pun sesama orang Cina. Jadi, masalah perpaduan itu secara tidak langsung, mereka hidup dalam dunia Cina. Kita tak boleh cakap mereka mengajar untuk benci mana-mana kaum di sekolah vernakular cuma masalahnya pada bahasa.











