KUALA TERENGGANU 26 Julai — Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kemaman yang menambat hati juri menerusi projek sistem pengesan awal kebakaran hutan muncul juara program Sentuhan Harapan Yayasan Petronas-All About Youth (AAY) 2019 peringkat negeri Terengganu.
Kemenangan tersebut membolehkan pasukan yang diwakili seramai 20 pelajar itu mewakili Terengganu ke pertandingan akhir kebangsaan yang akan diadakan di Melaka pada 6 Ogos ini.
Ketua pasukannya, Ahmad Faris Wajdan, 16, berkata, CO2NCER yang merupakan projek sekolah itu berfungsi membekalkan maklumat suhu, kadar peratusan asap, kelajuan angin dan koordinat lokasi secara automatik kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Katanya, kejayaan tersebut juga hasil sokongan sukarelawan Petronas atau ‘buddies’, guru-guru serta pihak sekolah yang banyak membantu mereka dalam tempoh tiga bulan bagi membina dan melaksanakan projek kemasyarakatan yang bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon kepada alam sekitar itu.
“Kami telah bekerja keras dalam membina projek ini dan akan terus berusaha sehingga ke peringkat akhir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
AAY 2019 yang bertemakan ‘Mengurangkan Pelepasan Karbon untuk Masa Depan yang Lebih Baik’ disertai seramai 200 pelajar tingkatan dua dan empat dari 10 buah sekolah di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman berkata, objektif Petronas adalah untuk menjadikan perubahan iklim sebagai subjek perbualan dalam kalangan pelajar bagi mengasah kemahiran mereka untuk berfikir secara kreatif dan inovatif ke arah masa depan yang mampan. – UTUSAN ONLINE











