KUALA LUMPUR – Skuad kanu polo negara menjadikan Kejohanan Kanu Polo Remaja Antarabangsa di Belfast, Ireland Utara dari 31 Julai hingga 3 Ogos ini sebagai medan terbaik menguji keberkesanan latihan yang telah dijalankan sejak awal tahun ini.
Walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran pingat tetapi ia merupakan pentas terbaik buat lima atlet negara menimba pengalaman berharga memandangkan kejohanan itu dijangka menarik penyertaan kuasa polo dunia seperti Hungary.
Ia juga adalah persiapan fasa akhir skuad negara sebelum menghadapi ujian sebenar, Kejohanan Kanu Polo Asia di Ningbo, China pada September ini.
“Sepatutnya Kejohanan Kanu Polo Asia berlangsung di Iran bulan depan tetapi ia dibatalkan disebabkan kurang sambutan sekali gus menyebabkan kejohanan di China nanti menjadi kejuaraan utama.
“Jadi, kami menghantar lima atlet utama ke Belfast sebagai pendedahan buat mereka menimba pengalaman sebelum berentap di China nanti,” kata Bendahara Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Mohd. Nadzrul Baharom.
Kejohanan di Belfast merupakan pertandingan kedua akan disertai skuad negara selepas menghadapai Kejohanan Antarabangsa PAs De Calais di Perancis pada April lalu.
Walaupun sukan kanu polo tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina hujung tahun ini, namun ia akan dianjurkan sebagai salah satu acara utama untuk Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
Pencapaian terbaik skuad negara ialah meraih pingat perak pada Sukan Asia 2018 di Indonesia tetapi tidak dikira dalam pungutan pingat keseluruhan kontinjen negara kerana ia dianjurkan sebagai perlawanan pertunjukan sahaja pada temasya tersebut.- K! ONLINE











