Skim ‘rent to own’ bakal dilancarkan September ini - Utusan Malaysia

Skim ‘rent to own’ bakal dilancarkan September ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Julai – Satu skim pembiayaan pemilikan kediaman yang baharu iaitu rent to own (sewa untuk dimiliki) bakal dilancarkan oleh kerajaan pada September ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, menerusi skim itu, rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan di bawah RM3,000 mampu memiliki kediaman menerusi kaedah itu.

“Mereka tidak perlu bayar deposit, terus sahaja bayar sewa dan selepas lima tahun, kita akan semak status kewangan sama ada layak beli rumah atau sebaliknya.

“Ini ditawarkan kepada gaji bawah RM3,000 dan rumah berjumlah RM300,000 serta dengan menyasarkan orang muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Skim FundMyHome+Depositku di sini hari ini.

Menurut Zuraida, pihaknya dan beberapa pihak bank kini dalam proses akhir berhubung pengenalan skim tersebut.

“Bank tempatan juga sedang di peringkat akhir mengenai skim ini dan selepas ia selesai, kita akan tawarkan kepada rakyat untuk mengambil bahagian,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida berkata, bank sendiri yang akan membuat keputusan sama ada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) layak menerima pembiayaan rumah atau sebaliknya.

Ujarnya, penyenaraian peminjam PTPTN dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) merupakan ‘Blanket Policy’ kerana tidak berdasarkan situasi sebenar pihak terlibat.

“Misalnya seseorang pekerja yang baharu keluar universiti, dia tiada pinjaman kerana belum beli kereta dan sebagainya.

“Bank boleh periksa gaji mereka dengan tiada komitmen lain sebelum meluluskan pinjaman perumahan,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, FundMyHome iaitu skim memberi peluang rakyat memiliki kediaman dengan hanya membayar 20 peratus daripada harga rumah akan diperluaskan dalam projek lain di seluruh negara.

Katanya, buat masa ini, terdapat 50 orang telah menerima manfaat skim tersebut manakala 300 individu yang memohon bagi mendapatkan kemudahan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×