JOHOR BAHRU 23 Julai – Satu sindiket antarabangsa yang berpangkalan di China berjaya ditumpaskan dalam Ops Dadu Khas di dua buah premis perniagaan tiga tingkat di Jalan Setia Tropika 1/8, Taman Setia Tropika di sini pukul 10.45 malam tadi.
Dua premis tersebut yang dijadikan markas untuk operasi judi atas talian sejak beberapa bulan lalu itu menjalankan kegiatan mereka dengan licik apabila didapati berselindung di sebalik premis berpapan tanda syarikat perkhidmatan kontraktor pembinaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu sepasukan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor malam kelmarin.
Dalam serbuan Ops Dadu Khas bermula pada pukul 10.45 malam itu, seramai 59 lelaki dan lapan wanita warga China serta tiga lelaki Myanmar yang berusia antara 18 hingga 45 tahun diberkas.

Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad berkata, kesemua individu yang ditahan bekerja sebagai operator panggilan judi atas talian.
“Sindiket ini berpusat di negara China dan mereka mensasarkan pelanggan dari China dengan menggunakan modus operandi melalui aplikasi WeChat.
“Operator akan mencari pelanggan melalui WeChat dengan menggunakan skrip yang disediakan sindiket bagi menarik pelanggan mereka menyertai judi online,” katanya ketika ditemui dalam operasi di Jalan Setia Tropika, Taman Setia Tropika di sini.
Yang turut hadir Timbalan JSJ (Risikan/Operasi) IPK Johor, Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat dan Pegawai Turus D7 IPK Johor, Deputi Superintenden Mohd. Zairi Badderul.
Md. Yusof berkata, serbuan itu merupakan kejayaan kedua polis IPK Johor dengan kerjasama pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan Johor Bahru Utara selepas melakukan intipan dan risikan sejak seminggu yang lalu.
Jelasnya, sindiket berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan sindiket pertama yang ditahan pada 21 Mei yang lalu. – UTUSAN ONLINE











