Sindiket jual tanah rizab di Felda Perasu?  - Utusan Malaysia

Sindiket jual tanah rizab di Felda Perasu? 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 25 Julai – Lebih 200 peneroka di Rancangan Tanah Felda Perasu di sini, mendakwa berlaku sindiket menjual tanah rizab membabitkan tapak rumah, dewan orang ramai, pondok bit polis dan dewan aktiviti belia sejak sebulan lalu. 

Bangunan berkenaan kini dipercayai sudah menjadi hak milik individu tertentu selepas membayar sejumlah wang kepada sindiket terbabit.

Para peneroka mendakwa sindiket berkenaan menawarkan kepada setiap generasi kedua dengan harga RM650 untuk memiliki satu lot rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang peneroka, Mohamad Zin Hassan, 67, berkata, sindiket menjual tanah lot rumah itu juga membabitkan tanah rizab dan kebun peneroka yang sudah diusahakan dengan pelbagai tanaman. 

Katanya, sebahagian besar peneroka sudah membayar wang yang ditetapkan iaitu sejumlah RM650 bagi satu lot rumah untuk anak mereka. 

“Kami sudah menjelaskan bayaran itu tetapi belum dapat ditentukan untuk memiliki lot rumah yang dijanjikan sehingga sekarang. 

“Saya sendiri sudah membayar sebanyak RM650 membabitkan kebun yang sudah diusahakan dengan pelbagai tanaman kerana bimbang jika tidak berbuat demikian kemungkinan dijual kepada orang lain,” katanya di sini hari ini. 

Seorang lagi peneroka, Zabidi Mohd. Noor, 72, pula berkata, dia terpaksa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mengenai perkara itu selepas tidak berpuas hati dan berasa tertipu, semalam.

Katanya, dia sudah berjumpa dengan pihak pengurusan Felda Wilayah Gua Musang bagi mendapat penjelasan itu tetapi mereka mendakwa tidak mengetahui perkara berkenaan. 

“Kami percaya masalah itu tidak pernah berlaku di Rancangan Tanah Felda tempat lain dan hanya berlaku di Felda Perasu yang mungkin ada unsur penipuan. 

“Saya berharap pihak berkuasa termasuklah pihak pengurusan Felda dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan berhubung perkara terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Perasu hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini