ALOR SETAR – Tugas berat menanti pertahanan Kedah, Muhammad Shakir Hamzah jika pertahanan import, Renan Da Silva Alves tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir Piala FA antara Kedah bertemu Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Bagaimanapun, pemain dari Singapura itu mempunyai perancangan tersendiri untuk menyekat kemaraan dua pemain import berbahaya ‘The Bos Gaurus’, Leandro Dos Santos dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) agar tidak mudah merobek gawang gol pasukannya.
Bagi Shakir, disiplin di atas padang, bermain dengan semangat berpasukan dan kemampuan mengawal emosi agar tidak terperangkap dengan ‘mainan’ psikologi lawan adalah faktor penting agar dia terus fokus sepanjang 90 minit perlawanan.
“Bagi saya Perak pun tidak konsisten dan buat silap, jadi kalau nak menang kita kena satu hati serta berdisiplin, macam mana kita berlawan di Darul Aman macam kita menang ke atas mereka 4-2 dalam Liga Super sebelum ini.
“Tugas saya juga perlu memastikan Leandro tidak bergerak bebas dan Careca tidak membuat hantaran-hantaran kiri ke kanan padang, adalah penting untuk kita jaga emosi jika berdepan provokasi dari pasukan lawan,” katanya di sini, hari ini.
Pemain itu juga yakin dapat bekerjasama baik dengan sesiapa sahaja pengganti yang dipilih untuk mengisi kekosongan Alves yang diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk sama-sama mengekang asakan pasukan lawan.
Sementara itu, dua penyerang import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega dan Jonathan Jesus Bauman yang baru bersama Kedah, musim ini tekad menghadiahkan Piala FA buat pasukan mereka.
Menurut Fernando, dua jaringan yang dihasilkan ketika menewaskan Perak sebelum ini menjadi sandaran dan suntikan semangat untuk mengulanginya semula di pentas akhir itu.
“Memang Perak mempunyai pemain terbaik dan pertahahannya kuat, namun, saya juga mempunyai motivasi serta keyakinan yang kuat dan tinggi untuk menyerang seterusnya menjaringkan gol bagi membawa pulang Piala FA ke Alor Setar,” katanya.
Jonathan pula mahu ‘membalas jasa’ peminat yang selama ini tidak jemu-jemu menyokong skuad Lang Merah dengan membawa pulang trofi Piala FA ke negeri Jelapang Padi itu.
“Semangat saya bertambah kuat apabila dihubungi bekas jurulatih ketika bersama Persip Bandung, Mario Gomez yang mahukan saya bermain bersungguh-sungguh untuk Kedah dan membawa pulang piala, dia hubungi saya kerana kami bersahabat baik,” katanya.
Pasukan Kedah dijangka berlepas ke Kuala Lumpur pagi esok, iaitu dua hari lebih awal untuk membuat persiapan akhir sebelum perlawanan akhir. – BERNAMA











