KLANG 24 Julai – Cubaan sekumpulan individu untuk mengedarkan 308 kartun rokok seludup bernilai RM44,762 berjaya dipatahkan apabila salah seorang daripadanya ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis di Pinggiran Subang USJ, dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 malam itu, lelaki warga Bangladesh berusia 43 tahun berjaya ditahan ketika sedang mengangkat kotak yang berisi rokok seludup.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan dilakukan sepasukan lima anggota PPM Pelabuhan Klang selepas mereka mengekori sebuah kereta Perodua Myvi bermula dari Kapar ke premis tersebut.
Rosman memberitahu, pemandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan serbuan yang mengekorinya hampir 40 kilometer.
“Bagaimanapun, pasukan serbuan berjaya mengesan seorang lelaki warga Bangladesh yang sedang kotak di depan rumah kedai itu.
“Hasil pemeriksaan menemukan 308 kartun rokok seludup bernilai RM44,762 yang disimpan di dalam rumah kedai terbabit.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit bekerja sebagai penjaga stor dan mengaku menyimpan rokok di rumah sewanya di kawasan berhampiran dengan lokasi serbuan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, lelaki Bangladesh itu akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam pada itu, Rosman menjelaskan, bermula awal Januari sehingga Julai 2019, PPM Pelabuhan Klang berjaya membuat 20 tangkapan yang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 membabitkan rampasan rokok, arak dan kenderaan dengan nilai RM10.66 juta.
“Berbanding tempoh sama pada tahun lalu, kita hanya merekodkan enam kes tangkapan dengan rampasan bernilai RM367,225,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











