Selamat hari jadi Tun M - Utusan Malaysia

Selamat hari jadi Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAM yat Mahathir ngam-ngam kau sap sei nin – Hari ini Mahathir genap Sembilan puluh empat tahun. Begitulah orang Cina berloghat Kantonis merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada hari ini genap 94 tahun usianya. Pada tahap usia emas ini beliau sudah lebih setahun jadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh. Sekaitan fakta ini capaian manusia bernama Mahathir ini sudah pun diiktiraf sebagai legenda tanah airnya dan juga dunia.

Ternyata dalam era ini, apabila sahaja disebut Malaysia di luar negara orang bertanya lagi – Mahathir? Tanda tanya itu kemudian biasanya menjurus kepada pendirian Dr. Mahathir; kata-kata anti Zionisnya, falsafah tegasnya terhadap politik dunia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Palestin, hegemoni Amerika Syarikat AS) dan hal-hal berkaitan aliran kuasa negara-negara besar.

Saya dilantik sebagai Menteri Luar dua kali, 1986 dan 2009. Tiap kali saya berada di luar negara tajuk Mahathir sering jadi topik perbualan. Biasanya tajuk-tajuk perbualan itu menjurus kepada ketrampilan anak Malaysia dari Kedah ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada tahun 1974 beliau dilantik jadi Menteri Pelajaran dan saya sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Kami masa itu dalam kerajaan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua yang penuh berjasa itu.

Melalui sudut politik tanah air, saya mengenali Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr. Hasmah Mohd Ali semenjak 1974. Tahun itu, tahun lahirnya Barisan Nasional (BN) menggantikan Parti Perikatan yang berlambangkan kapal layar.

SURAT LAYANG, JAMBANG

Dalam dekad 70-an nilai politik tanah air cukup berbeza berbanding kini. Siapa dilantik jadi menteri barang sudah tentu akan dilingkari penghormatan dan pengikut. Surat-menyurat paling utama untuk berhubung ketika itu selain berurusan melalui telefon. Surat layang kerap diterima tentang ‘gendang kecapi’ politik si-anu si-anu. Tetapi bila sampai Perhimpunan Agung UMNO, siap – menteri kena jawab pelbagai soalan dan isu yang dilemparkan oleh para perwakilan. Mereka tak beri notis.

Ada rakan saya yang terus berpeluh dan pitam bila disergah perwakilan lantaran tidak mengatasi sesuatu masalah rakyat luar bandar. ‘Singa Malaya’ – Syed Jaafar Albar, Datuk Harun Idris, Sulaiman Palestin dan Suhaimi Kamarudin antara lain-lain cukup terkenal dengan pidato mengenai hak Melayu dan ketuanan politik Melayu. Golongan guru lantas berpengaruh ketika itu, justeru dengan jawatan Menteri Pelajaran Dr. Mahathir beroleh sokongan padu dari para pendidik.

Datuk Aishah Gani yang menggantikan Tan Sri Fatimah Hashim sebagai Ketua Wanita UMNO sering berseloroh dengan sebutannya: Dr Mahathir macam bintang filem Hindustan dengan jambangnya kiri kanan…”

Kami suka mengusik beliau dengan ungkapan, “ada hajatkah?” Dialog itu disusul dengan gelak ketawa Dr. Mahathir dengan selamba saja menjawab: “Esok saya cukur jambang saya”. Lagi kuat gelak ketawa selepas itu.

Fasa pertama Dr. Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun (1981–2003); menjadi Timbalan Perdana Menteri di bawah Tun Hussein Onn 1976–1981. Lebih awal dari itu, beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dan Menteri Perdagangan Antarabangsa sebelum dilantik sebagai TPM 1976.

Pada tahun itu, susulan meninggalnya Tun Abdul Razak di London, begitu ramai yang meramalkan TPM tentunya akan dipegang oleh Tan Sri Ghazali Shafei yang popular dengan jolokan King Ghaz. Lantaran King Ghaz tidak menduduki kerusi Naib Presiden UMNO ketika itu, ramalan ramai itu tidak menjadi kenyataan dan Dr. M sebaliknya dipilih oleh Tun Hussein Onn sebagai timbalannya.

Suatu hari di ruang legar Dewan Rakyat Dr. Mahathir minta saya hampiri beliau untuk memberitahu sesuatu. Beliau sambil bergurau minta saya peringatkan beberapa orang rakan wakil rakyat Parlimen menjelaskan baki pinjaman pelajaran MARA masing-masing supaya nama baik pemimpin tak tercemar. Sebelum masuk dewan beliau sambil senyum lebar berkata: “Akaun pinjaman hang pun ada baki sikit lagi.”

Keesokannya lekas-lekas saya hubungi Dr. Tajuddin Jali di Bahagian Pinjaman Pelajaran MARA di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur lantas dijelaskan RM540, amaun hutang saya yang disindir oleh Dr. Mahathir itu.

RULE OF LAW, FASA SERIK

Mulai tahun 1974 hingga kini saya telah mengenali Dr. Mahathir selama lebih 45 tahun. Beliau sering mengasaskan pendapat dan pandangan kepada logik dan data. Kini beliau Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Dua kali jadi PM biasa bagi dunia luar: Winston Churchill juga dapat jadi PM Britain dua kali, kebanyakan Presiden AS berkhidmat dua penggal.

Cuma pemegangan kuasa Tun M kali kedua ini, jauh bezanya daripada kuasa yang dipegangnya bagi tempoh 1981–2003. Kuasanya dahulu lebih mutlak, lebih berkesan dan lebih bebas membuat keputusan serta percaturan politik.

Meminda Perlembagaan Persekutuan 1993 sehingga Raja-raja hilang sebahagian kuasa tradisional mereka adalah sebahagian hasil kuasa besar itu. Mahathir berjaya meletakkan konsep keluhuran undang-undang atau rule of law seperti yang dituntut di bawah Rukun Negara.

Sekarang Dr. Mahathir kena rujuk banyak perkara kepada Majlis Presiden Parti Harapan (PH). Hal-hal tulen Melayu sukar mendapat sambutan sebulat suara kerana realiti PPBM atau Bersatu cuma punya 29 kerusi Dewan Rakyat berbanding 47 bagi PKR dan 42 DAP. Keadaan berbeza jika Bersatu beroleh, katalah, 50 kerusi Dewan Rakyat.

Berasaskan realiti bahawa kuasa politik ditentukan bilangan kerusi dan keanggotaan parti yang ramai, Bersatu sering dilihat parti yang kurang prasarana keahlian dan kerusi. Di peringkat ini tidak dinafikan Bersatu banyak bergantung imej dan harapan Dr. Mahathir. Jika beliau tiada lagi memimpin parti itu, khususnya jika beliau tidak lagi perdana menteri, banyak meramalkan parti itu akan mengalami fasa serik.

‘POLITIK ISI PERUT, POKET’?

Sama ada telahan atau ramalan ini berasas atau sebaliknya akan dapat diberi unjuran sahih apabila manifesto Pilihan Raya Umum-14 berjaya dilunaskan untuk rakyat. Jika sebahagian besar manifesto PH tidak hasil menjelang PR-15, persoalan ini mudah dijawab dan dihurai.

Malaysia punya lumrah politik yang dalam bahasa mudahnya dipanggil ‘politik isi perut dan poket’ (PIPDAP).

Harga barang dapur dan keperluan harian yang meningkat termasuk minyak, tol jalan dan harga rumah tidak mampu-beli – inilah sebahagian contoh PIPDAP yang semestinya lekas di atasi.

Dr. Mahathir bukan sahaja terkenal dengan tindakan pantas dan berhasil semasa menjadi PM fasa pertama dahulu, beliau juga terkenal sebagai pemikir tentang tajuk-tajuk kemanusiaan, kemiskinan, logik agama, kepentingan negara Selatan-selatan, industri berat termasuk dasar automotif negara, nilai-nilai murni di bawah dasar Pandang ke Timur dan lain-lain.

Selaku penulis prolifik, beliau menghasilkan 12 buku dan pelbagai rencana. Antara penulisannya yang terkenal: Dilema Melayu, Wawasan 2020, Memajukan Perniagaan, The Way Forward, Mahathir’s Selected Letters, The Voise of Asia, Conversations with Mahathir, Doctor in the House dan lain-lain.

Tiada seorangpun dalam dunia moden yang masih bertugas sebagai pemimpin negara pada tahap umur 94 tahun, jauh sekali sebagai perdana menteri atau presiden sesebuah negara di peringkat umur itu. Dengan gaya dan hal-ehwal kesihatannya yang unggul, Dr. Mahathir memang unik dan layak dicontohi.

Semua ini berlaku dan terjadi kepada Dr. Mahathir yang usianya genap 94 tahun pada hari ini, 10 Julai 2019. Tiada siapa gamak mengatakan bahawa persekitaran begini berlaku kepada seseorang individu biasa.

Ramai yang berpendapat dengan usia yang begitu lanjut, kepintaran berolah dan berinteraksinya memberi kepadanya dividen keganjilan dan keunikan. Langkahnya masih panjang walaupun gontai, turun naik tangga masih mampu dan bertenaga; paling ketara, kemampuan mindanya walaupun sendat sesekali, lantas memaparkan otak yang masih cerdas.

Ada pihak berkata. Ya, Dr. Mahathir semacam seorang yang terpilih dan seorang pemimpin yang unik lagi disegani tetapi pada usia 94 tahun beliau seharusnya bersedia diganti. Soal tukar dan ganti memang tidak dinafikan mesti berlaku dan dilakukan.

Ini sudah jadi lumrah alam dan kemanusiaan. Cuma yang menjadi isu di sini ialah masa dan ketikanya bagi penggantian itu dilakukan.

SIAPA PENGGANTI?

Pada hari kelahiran Dr. Mahathir ini, soal penggantiannya inilah yang sering dan bertubi-tubi diketengahkan oleh pemerhati dan pengamal politik tanah air. Ini tidak kira lagi pendekatan diserlahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Beliau selaku Presiden PKR manakala selesai diampunkan Yang di-Pertuan Agong (dengan bantuan kukuh Dr. Mahathir tentunya) dan susulan menang sebagai Ahli Parlimen kawasan Port Dickson, diketahui umum amat mengharapkan Dr. Mahathir berundur dalam tempoh yang dipersetujui.

Tentunya tempoh itu belum sampai pada saat ini kerana Dr. Mahathir baru memegang teraju setahun. Istilah ‘tempoh dipersetujui’ juga amat kabur dan penuh dengan huraian ‘semak belukar’. Tempoh setahun berkhidmat sebagai ketua kerajaan ikut jangka masa manapun didapati terlalu awal untuk membuat peralihan.

Sekurang-kurangnya dua tahun harus diperuntukkan jika tidakpun tiga tahun atau habis bagi tempoh sepenggal pilihan raya. Jika DSAI mengumumkan hari ini bahawa Dr. Mahathir harus habiskan tempoh jawatan perdanaannya, ini akan merupakan hadiah hari jadi yang terbesar dan paling berharga. Tetapi berasas kepada yang berlalu dan berpetua kepada keadaan semasa, ini mungkin satu kesukaran untuk jadi kenyataan. Ahli politik mana yang tak nak jadi PM?

Walaupun demikian, dengan jawatan PM yang ada pada Dr. Mahathir kini, ia pun sudah layak dianggap sebagai hadiah hari jadinya. Cuma di mata umum yang penting kini bukan sangat siapa jadi PM dan siapa bakal jadi PM, kerana kepada mereka Dr. Mahathir sudah cukup sifat dan ramuan untuk memerintah mengikut mandat Malaysia Baharu.

Bukankah Datuk Seri Dr. Wan Azizah, isteri Anwar sendiri yang menimbali jawatan Perdana Menteri itu kini sebagai TPM? Bagi Anwar ini tentu berupa satu kebanggaan – dulu diri sendiri jadi TPM (1993–1998), kini sang isteri pula di kerusi itu. Sebilangan besar juga berpendapat: Dalam keadaan begini biarkan Dr. Mahathir menghabiskan tempoh perdana menterinya.

Dr. Mahathir punya latar belakang hidup yang begitu sukar ditandingi, ibarat berjalan sudah terpanjang perjalanannya. Dari sudut pengalaman, tiada lain yang setanding dengannya.

Sesungguhnya Allah menentukan siapa yang beroleh kuasa memerintah. Rekod dunia sudah dipecahkan. Rekod negara sendiri apatah lagi. Puncak sudah didaki, lurah sudah dituruni. Cuma yang tinggal untuk dicapai ialah hasrat rakyat untuk hidup dalam kemampuan dan kesejahteraan.

Dalam petak pemikiran Dr. Mahathir, isu perpaduan bangsanya tentu mengatasi aspirasi yang masih berbaki dalam perhitungannya. Ini dapat dilihat melalui seruannya minggu lalu supaya Melayu sedia menyertai Bersatu demi memperkasa perjuangan mereka di tanah air mereka.

Tercapaikah ini dalam saki-baki perkhidmatannya sebagai perdana menteri ke-7? Sama-samalah kita lihat. Jika ini berjaya dicapainya melalui pimpinannya barang sudah tentu ia berupa hasrat hari jadinya yang ke-94 yang paling besar ertinya.

Selamat Hari Jadi Tun.

TAN SRI DR. RAIS YATIM ialah Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini