Pada dasarnya menulis sesebuah lirik adalah saling sama dalam menulis sebuah puisi. Ia boleh jadi sebuah pekerjaan yang cukup peribadi kerana munuruti kehendak dan kata hati.

Kezaliman sebagai seorang penulis lirik, perkara pertama yang biasa dilihat ialah menyusur ke dalam diri sendiri dan menemui makna dibalik semua kejadian.
Ungkapan-ungkapan dan pesan-pesan ini selanjutnya disusun menjadi suatu penulisan yang saling teratur dan mengena dalam julat muzik yang dihasilkan. Satu perbezaan penulisan lirik dan puisi ialah, menghasilkan puisi selalunya bebas dan tidak terikat dengan nada tetapi menulis lirik adalah seperti menyusun silang kata supaya menyeragami ritma dan melodi yang dihasilkan.
Saya membesar dalam era kesegaran muzik rock yang membuak-buak pada lewat 80-an. Sewaktu kegemilangan banyak kumpulan rock di Malaysia yang gemerlapan dengan lirik yang melankolia dalam sisi muzik keras dan bernada tinggi. Meski ramai penyanyi yang berdiri secara solo bersaing bersama deret album yang memperjuangkan muzik dan lagu, tidak dapat tidak untuk mengakui di tengah-tengahnya, muncul seorang penyanyi wanita yang merubah sisi landskap muzik pada ketika itu kepada muzik pop yang lebih jitu.
Ziana Zain hadir dalam satu era yang begitu menghendakinya sekitar tahun 1991. Pemuzik handalan Greg Handerson menyatakan Ziana Zain memiliki suara berat yang tinggi. Diklasifikasikan sebagai Mezzo-soprano yang terletak pada kerendahan A2 dan ketinggian G#6 menjadikan dia mampu mencapai 4 oktaf sejurusnya benar-benar menenggelamkan ramai penyanyi yang telah mula dahulu terkenal.
Madah Berhelah diciptakan oleh komposer Saari Amri yang diakui sebagai tukang penulis muzik pop Melayu yang tegar kerana susunan melodinya selalu garang dan mencabar nada penyanyi yang ketika itu diperakui sebagai hebat sekiranya boleh bernada tinggi dengan baik. Liriknya dimulai dengan serangkap ayat seolah menyuruh pendengar terjerumus ke dalam sebuah suasana yang ironi serta menggunakan gaya bahasa enunerasia yang menghuraikan satu peristiwa yang sengaja dipisah-pisahkan.
Tetapi sebuah lagu tulisan Asmin Mudin iaitu Anggapanmu telah disepakati sebagai pencetus kegemilangan era Ziana Zain. Lagunya diperkukuh dengan lirik dan bersama konsisten penyanyi ini dalam mengekalkan elemen pop balada Melayu yang bernotasi tempo lambat iaitu Lento dan Grave. Lalu muziknya begitu segera diasosiasikan dalam diri masyarakat.
Anggapanmu secara tidak langsung telah merubah banyak sisi pembikin lagu dan penulis lirik di Malaysia yang menjadikannya sebagai rujukan. Ia merupakan sebuah lagu balada yang kuat dan melahirkan sebuah lirik yang menghampiri sebuah puisi yang menurut saya adalah sebuah isu feminisme dan banyak memetaforakan maksud serta telah dimulakan Ziana dengan nada mezzoforten iaitu sedang keras (walaupun pada banyak pendapat, ianya adalah nada forte iaitu keras).

Kegilaan terhadap muzik balada Ziana Zain yang sudah berakar sejak itu menjadi teguh dan ia menjadi fenomena sewaktu kelahiran album ketiga pada tahun 1995 yang memuncakkan namanya di persada muzik Malaysia.
Penghasilan banyak lagu yang hampir kesemuanya bergenre pop balada yang terkandung di dalam album Setiaku Di Sini melonjakkan namanya ke satu tahap yang paling membanggakan. Barisan lagu-lagu seperti Bersama Akhirnya, Setiaku Di Sini, Tiada Kepastian, Korban Cinta seolah memang diciptakan untuk dinyanyikannya.
Kehebatan
Dalam barisan lagu itu, sebuah lagu yang paling meninggalkan kesan terhadap perjalanan sama ada kariernya ataupun pendukungnya iaitu Kemelut Di Muara Kasih. Judulnya telah memberi makna yang signifikan terhadap perasaan penulis; Lukman S yang menceritakan permasalahan dalam menjalani sebuah perhubungan yang ironi melalui perkataan Kemelut dan menunjukkan ia sudah di penghujung dengan perkataan Muara.
Liriknya yang puitis menceritakan tentang rayuan perasaan terhadap sang kekasih. Pada era gemerlapan perfileman Melayu di Malaysia sekitar itu, runut bunyi turut menjadi pemangkin dalam kejayaan sesebuah filem. Senja Nan Merah muncul sebagai runut bunyi dalam filem ini menggandingkan Ziana bersama legenda rock Melayu, Awie.
Lirik tulisan arwah Loloq ini jelas terpamer sebuah puisi yang tinggi melalui penulisan sebuah lirik dalam penghasilan lagu yang berkualiti. Kepuitisan ini telah membangkitkan rasa yang intim dalam erti pencarian sebenar sebuah perhubungan nurani dua manusia.
Sekiranya diperhalusi, lagu ini terletak dalam ketegori semi balada semi rock namun diperkemaskan dengan cantik oleh M. Nasir kerana menyatukan dua penyanyi yang memiliki julat vokal yang tinggi selain dari dua elemen yang berbeza; pop balada dan rock.
Puncak Kasih yang lahir kemudiannya pada 1998 merupakan sebuah lagi lagu balada yang berjaya didayung vokalnya yang berjulat 3.6 oktaf atau dalam notasi muzik di antara D3 hingga F#6.
Secara batiniah, lagu ini menggambarkan peperangan dalam gelodak hati seseorang dalam impiannya mempertahankan perhubungan suci yang dibayangi ke suatu kemurnian yang lebih tinggi namun dibatasi kerana tidak seiya sekata oleh pasangannya.
Namun, perasaan yang keperempuanan itu jelas ditampilkan dalam bait pertama dalam gembleng personifikasi. Puncak Kasih menjadi tambah indah kerana bunyi-bunyian kepasiran dan keberanian Adnan Abu Hassan mewarnakan muziknya dengan mainan piano, elemen akustik, dram yang melankolik dan pewarnaan vokal Ziana dalam tempo cressendo dan pada ketinggian nada E5.
Pada dekat 90 an itu, Ziana tidak pernah sunyi daripada menghasilkan album yang terhimpun lagu-lagu berkualiti tinggi sebagai mengiyakan citarasanya sekaligus mengangkat taraf penciptaan lagu dan lirik di dalam industri muzik Malaysia termasuk Syurga Di Hati Kita dan Kesuma Hati.
Kemegahan vokal tingginya terus diuji pencipta muzik tempatan dan luar negara dengan lagu Cintamani dan Terkenang Jua. Dalam deret lagu itu, sebuah lagu ciptaan Azmeer paling memikat; Menadah Gerimis dimulakan vokal Ziana dari kerendahan G#3 sehingga pada ketinggian D5. Walaupun ini sebuah lagi lagu melankolia yang menceritakan tentang pengharapan terhadap sebuah perhubungan dari penyanyi ini.
Ziana Zain secara lahiriahnya telah sepi dari lagu-lagu baharu sejak awal dekad 2000 dan ramai yang menjangkakan hayat kemegahannya cuma setakat itu kerana kebanjiran ramai artis baru dalam dunia seni muzik. Selepas 20 tahun tanpa lagu baharu, legasi beliau masih mekar mempersadai dunia muzik negara meskipun tidak melalui lagu dan lirik bernilai tinggi tetapi juga kerana personaliti dan kewibawaannya.
Tidak dapat tidak, sebagai seorang yang membesarkan namanya dalam seni muzik dan kini dikira sebagai tokoh seni suara dalam gelanggang muzik negara, ramai yang menunggu lagu baharu dari Ziana Zain meskipun hanya sebuah.
Umar Uzair merupakan penyanyi, penulis dan penyair muda. Dia juga merupakan Ketua Pegawai Pengurusan Meja Poedjangga Malaysia dan Penyair Muda ASEAN 2015.










