Rokok, minuman keras bernilai RM1.14 juta dirampas - Utusan Malaysia

Rokok, minuman keras bernilai RM1.14 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Julai – Pelbagai rokok dan minuman keras bernilai RM1.14 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam dua serbuan Op Libas di Kuching, Sarawak.

Kesemua rokok dan minuman keras tersebut dirampas dalam serbuan bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari kerana dipercayai belum lulus kastam.

Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis perniagaan berhampiran bengkel lori di Jalan Muara Tuang, Kota Samarahan sebelum sebuah lagi lokasi di Jalan Kubong, Limbang diserbu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan di lokasi pertama menemukan sebanyak 102 kotak mengandungi 5,790 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM970,200.

“Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dipercayai penjaga stor turut ditahan dan kesemua barang rampasan bersama suspek diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan lanjut,” katanya satu sidang akhbar di Ibu Pejabat PGA Sarawak hari ini.

Kok Chin memberitahu, serbuan di lokasi kedua pula menjumpai 147 botol dan empat kotak minuman keras pelbagai jenama serta 102 karton rokok pelbagai jenama.

“Turut dirampas ialah kereta Proton Saga dan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger disyaki digunakan dalam aktiviti penyeludupan.

“Rampasan berjumlah RM172,274 dan seorang wanita tempatan berusia 48 tahun ditahan seterusnya diserahkan kepada IPD Limbang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah Kok Chin, kedua-dua kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kesemua barang rampasan dipercayai untuk diseludup dan ini merupakan rampasan terbesar dijalankan pihak kita,” katanya.-UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini