KUALA LUMPUR 22 Julai – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$103.3 bilion (RM424.90 bilion) pada 15 Julai 2019 daripada AS$102.7 bilion (RM422.44 bilion) pada 28 Jun 2019.
BNM dalam kenyataannya berkata, paras rizab itu memadai untuk membiayai 7.3 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Katanya, komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$97.1 bilion (RM399.40 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.1 bilion)(RM4.52 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR (US$1.1 bilion)(RM4.52 bilion), emas (AS$1.8 bilion)(RM7.40 bilion) dan lain-lain aset rizab (AS$2.2 bilion)(RM9.05 bilion).
Ia berkata aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM427.99 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.28 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM3.34 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM6.95 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), dan aset-aset lain (RM11.63 bilion).
Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM141.31 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.50 bilion), deposit institusi kewangan (RM154.41 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM21.61 bilion), deposit lain (RM1.45 bilion), kertas Bank Negara (RM18.58 bilion), peruntukan SDR (RM7.72 bilion), dan liabiliti lain (RM2.66 bilion). – UTUSAN ONLINE











