BANGKOK – Peninju Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor terus menampilkan aksi bertenaga apabila mara ke peringkat akhir Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok, hari ini.
Peninju berusia 17 tahun dan paling muda dalam kejohanan amatur yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark itu, menang tipis ke atas peninju dari Vietnam, Khai Van Khuat dalam kategori 48 kilogram pada saingan separuh akhir menerusi kiraan mata 29-28.
Kejayaan itu menyaksikan Mohammad Rifdean bakal menentang peninju tuan rumah, Naruephon Chittra di pentas final, esok.
Sementara itu, ketua jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata Mohammad Rifdean mempamerkan aksi cemerlang dalam pertarungan tersebut walaupun berdepan tentang sengit daripada peninju Vietnam yang mempunyai fizikal lebih besar dan tinggi.
Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu, berentap dalam kategori 48kg setelah kategori 45kg (semasa Sukma) tidak dipertandingkan pada kejohanan di Bangkok.
“Mohammad Rifdean berjaya mengawal gelanggang dengan baik dan saya berharap beliau akan terus mengekalkan momentum dan kecergasan untuk mempamerkan aksi cemerlang di peringkat akhir esok,” kata Bernard kepada Bernama di sini.
Mengenai pertarungan menentang peninju tuan rumah esok, Bernard berkata peluang anak buahnya adalah 50-50.
“Peninju tuan rumah lebih berpengalaman, namun kelebihan Mohammad Rifdean adalah kepantasannya,” katanya.
Turut hadir memberi sokongan kepada “Malaysian Muay Thai Tiger” di stadium berkenaan ialah Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi.- BERNAMA











