NEW JERSEY – Kapten Real Madrid, Sergio Ramos berkata, gergasi La Liga itu tidak boleh tewas seperti mana mereka tewas 3-7 kepada Atletico Madrid, hari ini.
Real mengalami kekalahan memalukan kepada seteru setempat Atletico dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa yang menyaksikan Diego Costa meledak empat gol dalam perlawanan pra musim itu.
Atletico mendahului 5-0 pada separuh masa pertama, manakala skuad Zinedine Zidane berjaya meraih tiga gol menerusi Nacho Fernandez, Karim Benzema dan Javi Hernandez.
“Kami sememangnya tidak berada dalam keadaan baik. Ini adalah satu permulaan, persediaan untuk kami mengharungi aksi sebenar. Banyak cara kami boleh kalah, tetapi tidak dengan cara seperti ini.
“Kami bermain seperti aksi persahabatan. Perbezaan jaringan sangat besar dan ia memalukan.
“Cita-cita pasukan tetap sama. Kami perlu lupakan apa yang berlaku, musim lalu dan aksi pra musim ini tidak boleh dijadikan penanda aras kepada musim hadapan. Kami perlu bekerja keras sebelum mulanya musim baharu.
“Saya yakin, selepas beberapa tahun, jika pasukan ini tidak boleh menang apa-apa, saya akan menjadi pemain pertama meninggalkan pasukan,” katanya. – AGENSI











