Rawatan mental elak mangsa pencemaran hadapi anxiety - Utusan Malaysia

Rawatan mental elak mangsa pencemaran hadapi anxiety

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 23 Julai – Para pelajar yang terganggu kesihatan disebabkan pencemaran udara di Pasir Gudang dirujuk ke Hospital Permai di sini adalah bertujuan mengenal pasti sekiranya mereka mempunyai masalah yang tidak dapat diselesaikan daripada segi kebimbangan melampau (anxiety).

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, pelajar perlu mendapatkan rawatan mental bagi menangani masalah tersebut sebelum menjadi lebih serius pada masa akan datang.

“Memang nyata kalau mengalami trauma, ada terkesan dengan anxiety dan ini tidak akan terus hilang begitu sahaja. Jadi, kita kena sokong dengan rawatan mental bagi menghilangkan perasaan kebimbangam melampau itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita lihat anak-anak ini, mereka mempunyai tahap stress yang tinggi. Dengan ada insiden ini, anxiety itu juga akan tinggi dan ini langkah yang perlu kita ambil sebagai rawatan sokongan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan.

Kelmarin, ada segelintir ibu bapa mempersoalkan kenapa anak mereka yang terganggu kesihatan akibat pencemaran untuk dirujuk ke Hospital Permai bagi mendapatkan rawatan mental.

Selahuddeen berkata, masyarakat perlu sedar bahawa bukan sahaja kesihatan fizikal penting malah kesihatan mental juga perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan kesejahteraan kesihatan yang sejagat.

“Tugas kita di sini memberi sokongan kepada murid dan pelajar yang terjejas untuk mengatasi stress dan kebimbangan melampau. Kita kena kenal pasti awal, kalau tidak keadaan ini akan membawa kepada kemurungan seterusnya kepada kesihatan mental yang lebih teruk.

“Kita kena lakukan intervensi awal bagi memastikan ia tidak menjadi semakin buruk. Selain itu juga kita perlu hilangkan stigma negatif tentang kesihatan mental dalam kalangan masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini