Rangka kerja serantau mantapkan sektor pendidikan ASEAN - Utusan Malaysia

Rangka kerja serantau mantapkan sektor pendidikan ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Perkembangan sektor pendidikan di rantau Asia Tenggara bergantung kepada keutuhan rangka kerja serantau melibatkan 11 negara ASEAN.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kerjasama rangka kerja itu penting bagi menyelaraskan kepelbagaian sistem pendidikan di rantau itu sekali gus dapat memantapkan persefahaman antara negara anggota.

“Saya harap kita boleh berkongsi aspirasi penyeragaman yang sama kerana melalui sektor pendidikan, kita mempunyai beberapa platform seperti Persidangan Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEC) yang diadakan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Demi memastikan pelan perancangan strategik pendidikan pasca 2020 tercapai, usaha kita mestilah selari dengan objektif yang terkandung dalam SEAMEC seperti penekanan terhadap pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Persidangan SEAMEC kali ke-50 di Bandar Sunway di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Prof. Dr. Muhadjir Effendy yang merupakan Presiden Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO).

Persidangan yang berlangsung selama empat hari itu turut dihadiri menteri-menteri pendidikan, pegawai tinggi kerajaan dan wakil rasmi dari kesemua 11 negara anggota SEAMEO, negara anggota bersekutu, ahli gabungan, Pusat SEAMEO Serantau dan rakan strategik.

Negara anggotanya terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.

Dalam persidangan kali ini, SEAMEO akan mengetengahkan isu perubahan landskap pendidikan bagi menyokong pembangunan daripada sudut ekonomi dan sosial.

Persidangan itu turut menawarkan forum terbuka bagi membincangkan hala tuju strategik berdasarkan tujuh bidang keutamaan SEAMEO yang selari dengan perspektif dan isu komuniti pendidikan antarabangsa khususnya di rantau Asia Tenggara.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini