SEREMBAN 7 Julai – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran bahawa parti itu akan berpecah dan ditolak rakyat sekiranya bekerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, ini kerana rakyat kecewa dengan kerajaan PH dan mahu UMNO mengukuhkan kerjasama dengan Pas dan bukannya berunding sama ada dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau PKR.
Katanya, Pemuda UMNO sejak awal lagi berpendirian untuk menolak sebarang rundingan dengan mana-mana pihak dalam PH melalui ‘pintu belakang’ bagi membentuk kerajaan.
“Tak kiralah sama ada (berunding dengan) Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menyebabkan UMNO berpecah. Apa keperluan kita jadi kerajaan dalam masa terdekat kerana rakyat marahkan PH.
“Rakyat mahu kita kembali berkuasa secara bermaruah. Mereka mahu UMNO dan Pas diperkasa dan diperkuatkan. Dalam lebih 40 siri ceramah penyatuan ummah di seluruh negara, saya dapat lihat suara hati rakyat bawahan yang mahu kita bersatu.
“Penyatuan UMNO dan Pas pada masa ini tak sama dengan yang berlaku pada tahun 1974. Dulu kita bergabung atas kehendak pemimpin atasan tetapi hari ini rakyat yang menuntut kita bermuafakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rasah di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir dan beberapa wakil Pas Rasah.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa orang Melayu tidak boleh berharap kepada Dr. Mahathir untuk mempertahankan kepentingan mereka kerana pentadbiran Perdana Menteri itu dikuasai DAP.
“Perdana Menteri keempat tak sama dengan Perdana Menteri ketujuh. Dulu pentadbiran Dr. Mahathir didokong oleh UMNO, sekarang di belakangnya DAP dan mereka mendominasi jawatan-jawatan penting,” katanya.
Ujar beliau, orang Melayu membayar harga yang mahal ekoran kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umu Ke-14 kerana hak dan kepentingan mereka serta agama Islam semakin terancam di bawah kerajaan ketika ini. – UTUSAN ONLINE











