KUALA TERENGGANU 23 Julai – Tengku Nadhirah Zahrah yang merupakan puteri sulung Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengetuai senarai penerima gelaran sempena Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu 2019 di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini semalam.
Tengku Nadhirah Zahrah dianugerahkan gelaran Tengku Puteri Utama Raja diikuti Putera kedua baginda, Tengku Mua’az yang dianugerahkan gelaran Tengku Seri Setia Mahkota Raja manakala Puteri bongsu baginda sultan, Tengku Fatimatuz Zahra’ dianugerahkan Tengku Puteri Daulath Raja.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z.) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk A. Rahman Yahya dianugerahkan gelaran Dato’ Bentara Dalam manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dianugerahkan gelaran Tengku Seri Bijaya Raja.
Bagi Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) yang membawa gelaran Datuk, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali mengetuai senarai diikuti Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar serta Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri, Zainal Abidin Hussin.
Darjah Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.M.Z.) turut dianugerahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Ahmad Azmi Md. Salleh; Pegawai Daerah Kemaman,
Osman A Bakar serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh.
Darjah Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) pula dianugerahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Tujuh penerima Darjah Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (A.M.Z.) yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim manakala 12 orang menerima Darjah Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T.). – UTUSAN ONLINE











