JEMPOL – Seorang penagih dadah berusia 40 tahun ditahan polis kira-kira pukul 2.30 petang semalam kerana memiliki selaras senapang angin di rumahnya di Bandar Seri Jempol.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, senapang angin jenama Tippmann X7 Phenom itu ditemui disimpan dalam sebuah beg di sebelah peti sejuk di rumah berkenaan.
Jelas beliau, polis melakukan serbuan selepas menerima maklumat daripada orang awam.
“Pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki lesen atau permit senjata api. Suspek disyaki membeli senjata itu daripada rakannya pada harga RM400,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Muhd Nur. Hishamuddin berkata, polis turut merampas 30 butir bebola besi dipercayai peluru senapang angin berkenaan.
Selain itu, kata beliau, polis merampas satu tong gas warna kuning, satu hos tekanan serta satu pencuci laras daripada suspek.
Tambah beliau, suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah methaphetamine.
“Suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960,” katanya. – K! ONLINE











