JOHOR BAHRU 24 Julai – Polis menahan seorang lelaki warganegara India kerana menjual arak yang diseludup dari negara jiran di sebuah kedai runcit di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Ahsmon Bajah berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan semasa berada dalam kedai itu pada pukul 5 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, lelaki itu sudah seminggu menjalankan perniagaan tersebut.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi telah menyerbu sebuah premis dan merampas 100 botol dan 189 tin minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai yang diletakkan di bahagian susunan rak kedai.
“Semua rampasan minuman keras tidak bercukai itu dianggarkan bernilai RM8,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahsmon berkata, suspek dan barangan yang dirampas dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE











