GUA MUSANG – Pihak Polis bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membuat saringan air kencing dari semasa ke semasa terhadap pelajar sekolah bagi membendung aktiviti penyalahgunaan dadah di beberapa buah sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya sentiasa memantau pelajar sekolah yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah khususnya pil kuda agar kegiatan itu tidak terus menular di kawasan sekolah.
Katanya, sehubungan itu pihaknya akan melakukan serbuan ke sekolah terbabit pada bila-bila masa.
“Kita berharap pihak sekolah dan ibu bapa telus dan tidak menyembunyikan pelajar-pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah demi menjaga imej.
“Setakat ini kita melihat di sekolah daerah ini terkawal dan kita sedang giat mengawasi aktiviti secara dekat untuk tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas perasmian Karnival Sukan dan Sukan Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Star, di sini hari ini.
Sempena karnival sukan sekolah itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang juga turut mengadakan Hari Bertemu Pelanggan di sekolah berkenaan.
Tambah, Mohd. Taufik, penagihan pil kuda berterusan akan merosakan masa depan pelajar itu sendiri dan terdedah kepada kejadian jenayah.
Katanya, indeks penagihan dadah yang ditangkap di daerah ini meningkat sejak kebelakangan ini berbanding dengan kegiatan jenayah.
“Kita harap ibu bapa mengambil berat mengenai pergerakan anak-anak mereka selepas pulang dari sekolah atau waktu malam apabila keluar rumah.
“Selain itu, penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah menengah juga harus diberi perhatian serius sebelum menular secara serius,” katanya. – K! ONLINE











