TELUK INTAN 23 Julai – Kecekapan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Hilir Perak bertindak, berjaya menyelesaikan kes samun sebuah kedai serbaneka di Jalan Changkat Jong di sini dalam tempoh kurang 24 jam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 17, 20 dan 21 tahun yang beralamat di Sabak Bernam, Selangor itu melakukan jenayah rompak tersebut pada pukul 2.44 pagi, Jumaat lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, ketiga-tiga mereka berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Batu 38 dan Taman Bernam Jaya, Sabak Bernam pada pukul 7.45 petang hari yang sama.
“Pihak polis menerima laporan, sebuah kedai serbaneka 24 jam telah disamun suspek bersenjatakan parang dan kayu di mana mereka melarikan wang hasil jualan, rokok dan telefon bimbit pekerja yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1,500.
“Hasil risikan dan siasatan yang dilakukan telah membawa kepada penangkapan kesemua suspek termasuk seorang remaja berusia 17 tahun di rumah mereka di Sabak Bernam, Selangor,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan itu pihaknya merampas semula barang yang disamun selain sebuah kereta jenis Proton Saga FLX dan sebatang besi dan sebilah parang.
Katanya, siasatan mendapati, dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah manakala remaja berusia 17 tahun itu tiada rekod kesalahan.
“Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka mendapati kesemuanya positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua suspek direman selama enam hari sehingga Khamis ini untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE











