PULAU PINANG 26 Julai – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menegaskan tindakan kerajaan negeri yang mahu memohon dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai sebahagian projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) hanya akan meningkatkan hutang kerajaan.
Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, malah tindakan itu juga akan menyebabkan pembaziran wang pembayar cukai.
“Mendapatkan pembiayaan Kerajaan Pusat bagi membiayai sebahagian daripada projek PIP ini tidak masuk akal dan hanya akan meningkatkan hutang kerajaan serta membazirkan wang pembayar cukai.
“Kini tiba masanya bagi kajian semula yang lebih adil serta bebas dilakukan ke atas projek PIP dan projek tambakan laut di perairan selatan (PSR) dijalankan, di mana tiada penyelesaian yang lebih baik berbanding membatalkannya,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap mendapat pembiayaan penuh daripada Kerajaan Pusat bagi sekurang-kurangnya dua projek keutamaan di bawah PIP iaitu pembinaan transit aliran ringan (LRT) dan projek lebuh raya Pan Island Link.
Kon Yeow berkata, sekiranya permohonan dana daripada Kerajaan Pusat itu diluluskan atau kerajaan negeri berjaya mendapatkan dana daripada sumber lain, pihaknya bersedia menimbang semula projek tambak laut berkenaan dari segi skala dan saiz
Menurut Meenakshi mengecilkan PSR masih boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar yang sensitif dan ia masih boleh memberikan kesan sampingan yang serius kepada sosio-ekonomi serta alam sekitar.
“Sepertimana yang kami tekankan sebelum ini, memusnahkan sumber perikanan kita yang penting untuk masa depan adalah tidak masuk akal.
“Bahkan, sebarang tebus guna masih memerlukan perlombongan dan pengambilan pasir dan ini juga akan mendedahkan lagi kesan buruk kepada alam sekitar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











