PUTRAJAYA 24 Julai – Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke Turki sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri yang bermula hari ini sehingga Sabtu.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan Dr. Mahathir ke negara itu adalah di atas jemputan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan beliau dijangka mengadakan mesyuarat bersama pemimpin tersebut di Kompleks Presiden, Ankara dan disusuli perbincangan dua hala antara delegasi Malaysia dan Turki.
Ujar kenyataan itu, lawatan Dr. Mahathir ke negara itu diiringi isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking serta beberapa pegawai kanan kerajaan.
“Presiden Turki akan menghoskan jamuan makan malam rasmi sebagai tanda penghargaan kepada Perdana Menteri. Dalam lawatan itu juga, Dr. Mahathir dijangka melawat Industri Aeroangkasa Turki.
“Malah beliau dijadualkan melawat Istanbul dan ketika berada di bandar itu, Dr. Mahathir akan mengunjungi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen dan BaykarMakina. Malah Perdana Menteri juga menyertai perbincangan meja bulat antara pemain industri daripada pelbagai latar belakang ekonomi dan dialog bersama cendekiawan Turki,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan menambah, Perdana Menteri dijadual bertemu diaspora Malaysia pada Jumaat ini.
Pada masa sama, kenyataan memaklumkan lawatan itu bakal memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk membincangkan cara memperluaskan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu melibatkan kepentingan bersama.
“Turki adalah rakan kongsi ekonomi penting Malaysia. Pada 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatat rekod sebanyak RM9.79 bilion manakala nilai eksport dari negara ke Turki berjumlah RM7.97 bilion dan import dari Turki ke Malaysia pula berjumlah RM1.82 bilion,” ujar kenyataan itu.- UTUSAN ONLINE











