MELAKA – Skuad PKNP FC mengharapkan tuah kemenangan mampu menyebelahi pasukan mereka dalam baki lagi dua perlawanan bagi mengelakkan daripada tersingkir keluar daripada Liga Super.
Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berkata kemenangan dari dua perlawanan itu amat penting bagi pasukan meraih mata penuh dan melonjakkan kedudukan sekali gus mengelakkan diri daripada terjeremus ke zon penyingkiran.
“Setiap perlawanan amat penting dan kita bergantung pada rezeki terutamanya bertemu Felda United Sabtu ini di tempat sendiri iaitu mana-mana pasukan yang menang peluang akan lebih cerah untuk berada di tempat lebih selamat dalam carta liga.
“Sebelum ini kita telah lama berada di tempat kesebelas dan akhirnya berjaya menaikkan kedudukan di tangga kesepuluh.
“Sekarang ini, kita berharap tuah lebih menyebelahi selain berusaha sehabisnya untuk mencari kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super menentang pasukan Melaka United di Stadium Hang Jebat malam tadi.
PKNP FC tewas 1-2 kepada pasukan tuan rumah kini menduduki tangga ke-10 liga kini hanya mengumpul sebanyak 15 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.- BERNAMA











