ALOR SETAR – Kaunter jualan tiket bagi perlawanan akhir kempen Piala FA antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini mula dipenuhi penyokong skuad Helang Merah seawal pukul 5.30 petang semalam.
Tinjauan yang dilakukan tengah malam tadi mendapati lebih 60 penyokong beratur di hadapan beberapa kaunter di Stadium Darul Aman di sini meskipun jualan tiket hanya bermula pada pukul 10.30 pagi ini.
Rata-rata penyokong Hijau Kuning yang ditemui memberitahu mereka sanggup menunggu di hadapan kaunter sehingga 17 jam demi mendapatkan tiket perlawanan akhir tersebut.
Jumlah penyokong dijangka bertambah ramai pada pagi ini.
Penyokong, Mohd. Nazmi Salim, 20, dari Pendang dekat sini berkata, dia sudah berada di hadapan kaunter sejak pukul 5.30 petang semalam.
“Setiap kali ada jualan tiket bagi perlawanan akhir, saya dan tiga lagi rakan menjadi antara yang terawal beratur di depan kaunter.
“Sebagai penyokong skuad Helang Merah, saya memang bersemangat untuk beri sokongan kepada pasukan pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Darul Aman di sini tengah malam tadi.
Katanya, dia akan bergerak ke Bukit Jalil secara konvoi bersama 12 buah lori dari seluruh negeri ini pada Jumaat ini.
“Kami akan hiaskan lori dengan kain rentang sokongan kepada pasukan Kedah,” ujarnya yang merupakan pengendali traktor.
Seorang lagi penyokong, Ku Azman Ku Yau, 34, dari Kodiang dekat sini berkata, jumlah penyokong yang beratur awal sejak petang hingga tengah malam tadi tidak ramai berbanding jualan tiket perlawanan akhir sebelum ini.
“Mungkin sebab hujan sebentar tadi (malam semalam) atau ramai yang rancang datang pada awal pagi esok (pagi ini),” katanya.
Sebanyak 20,000 tiket akan dijual di kaunter yang dibuka bermula pukul 10.30 pagi ini hingga tiket habis dijual dengan kuota maksimum tiga keping bagi setiap pembelian. – K! ONLINE











