KUANTAN – Seorang pesara wanita kehilangan kesemua wang simpanannya berjumlah RM123,500 dalam tempoh seminggu, selepas mendakwa diperdayakan oleh seseorang yang mengaku sebagai ‘pegawai Bank Negara’, sejak April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an mendakwa dihubungi suspek lelaki kononnya ‘pegawai polis’ dari Bukit Aman pada 24 April lalu.
Suspek mendakwa nama mangsa dikaitkan dengan sindiket judi haram dan perlu bercakap dengan ‘wakil’ Bank Negara dikenali sebagai Razak bagi membantu siasatan.
“Razak didakwa telah mengarahkan mangsa untuk memindahkan semua wang simpanannya di tiga bank termasuk simpanan Tabung Haji ke akaun sementara yang dibuka Bank Negara supaya wang itu tidak dirampas dalam siasatan.
“Mangsa yang bimbang akan kehilangan duitnya telah melakukan 24 transaksi pemindahan wang dari 26 April hingga 2 Mei lalu ke empat akaun yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Bernama











