BAITULMUQADDIS 22 Julai – Di sebalik bantahan penduduk Palestin dan kritikan masyarakat antarabangsa, rejim Zionis hari ini memulakan operasi perobohan penempatan penduduk Palestin di Kampung Sur Baher berhampiran tembok pemisah.
Lapor al Jazeera, ratusan anggota tentera Israel berserta jentera berat memenuhi kawasan perkampungan itu untuk memulakan kerja merobohkan kira-kira 16 bangunan kediaman yang mempunyai 100 unit pangsapuri di Baitulmuqaddis Timur tersebut.
Tentera Israel mendakwa rumah itu yang terletak berhampiran tembok pemisah antara kedua-dua wilayah dan menyilang sehingga Tebing Barat yang dijajah rejim sebagai ancaman keselamatan.
PENDUDUK:KAMI JADI GELANDANGAN
Mahkamah Agung Israel bulan lalu yang memihak tentera menamatkan pertikaian selama tujuh tahun dan menetapkan hari ini sebagai tarikh meroboh rumah penduduk.
Penduduk Palestin mendakwa, langkah itu akan dijadikan pemula oleh Israel terhadap pekan-pekan lain yang terletak di sepanjang laluan sempadan sepanjang ratusan kilometer (km) mengelilingi dan melalui Tebing Barat yang dijajah rejim.
Koresponden al Jazeera, Rob Matheson yang berada di lokasi kejadian melaporkan bahawa, tentera Israel mula merobohkan penempatan Palestin seawal pukul 7.15 pagi waktu tempatan.
“Kami dapat mendengar bunyi kuat ketika bangunan milik dua keluarga dirobohkan menggunakan jentera berat. Apa yang menyedihkan, penduduk di kawasan ini hanya mampu melihat rumah mereka dirobohkan tanpa belas kasihan,” katanya.
Matheson berkata, tentera Israel telah meratakan sebuah bangunan di Tebing Barat dan memusnahkan 50 peratus struktur sebuah rumah yang dimiliki sebuah keluarga Palestin di Baitulmuqaddis Timur.
“Perobohan itu menjadi hari yang suram dan menyedihkan buat penduduk Palestin,” katanya.
PALESTIN DESAK ICC SIASAT
Menurut penduduk, langkah Israel merobohkan rumah itu adalah yang terbesar sejak Israel menduduki Baitulmuqaddis pada 1967 dan menjadikan mereka kehilangan tempat tinggal.
“Apabila rumah dimusnahkan, kami akan berada di jalanan,” kata seorang penduduk yang rumahnya diancam diratakan rejim, Ismail Abadiyeh, 42.
Pihak berkuasa Palestin dalam pada itu mendesak supaya ICC perlu melakukan siasatan segera kerana jelas menunjukkan Israel ‘melakukan jenayah’ terhadap hak serta kebabasan penduduk Palestin.
Press TV melaporkan, kenyataan kementerian itu juga mengutuk keputusan mahkamah tinggi Israel kerana menolak rayuan penduduk Palestin di kawasan penempatan Sur Baher yang berdepan dengan risiko rumah mereka akan dirobohkan, sekali gus kehilangan tempat tinggal.
Jelas kenyataan itu, keputusan tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa sistem undang-undang Zionis hanya berfungsi melindungi jenayah dan penindasan yang dilakukan oleh Israel.
Penyelaras Kemanusiaan bagi Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), Jamie McGoldrick, Pengarah Operasi tebing Barat bagi UNRWA, Gwyn Lewis dan Ketua Pejabat Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), James Heenan turut menggesa Israel menghentikan rancangan di Sur Baher.
“Seramai 17 penduduk Palestin termasuk sembilan pelarian berdepan dengan risiko kehilangan tempat tinggal, manakala 350 yang lain bakal kehilangan harta benda.
“Ini selepas Israel meneruskan rancangan mereka merobohkan kawasan penempatan Palestin di Sur Baher,” menurut kesemua wakil tersebut menerusi satu kenyataan bersama.
Mereka juga menegaskan bahawa tindakan tersebut secara tidak langsung memaksa penduduk Palestin di Tebing Barat ‘berpindah secara terpaksa ke tempat lain’ dan begitu juga di Baitulmuqaddis Timur.
Tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas langkah perobohan itu dan mendakwa akan meneliti laporan tersebut. – AGENSI











