JOHOR BAHRU – Seorang jurujual wanita warga Indonesia ditahan selepas disyaki menjual 167 barangan berasaskan kulit hidupan liar dipercayai ular sawa tanpa lesen bernilai RM40,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) semalam.
Wanita berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Perhilitan negeri, Salman Saaban berkata, wanita itu ditahan selepas gagal mengemukan sebarang dokumen pemilikan dan penjualan yang sah.
“Bertindak atas maklumat, lima orang penguat kuasa Jabatan Perhilitan Johor telah menjalankan pemeriksaan di sebuah tapak jualan di Lot B dan D LTAS.
“Wanita itu gagal menunjukkan dokumen pemilikan atau penjualan yang sah kepada kami dan kami tahan dia serta merampas 167 barangan termasuk beg dan dompet disyaki diperbuat daripada kulit ular sawa dengan nilai rampasan dianggarkan RM40,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Salman berkata, wanita itu dan kesemua barangan yang disita dibawa ke Jabatan Perhilitan Johor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memburu atau menyimpan atau terbitan atau produk hidupan liar yang dilindungi. – K! ONLINE











