IPOH – Kira-kira 200 orang peserta termasuk luar negara akan menyertai Kejohanan Woodball Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-22 yang berlangsung selama enam hari bermula Sabtu ini.
Penganjuran acara itu mencatat sejarah tersendiri apabila negeri Perak khususnya Ipoh buat julung-julung kalinya dipilih sebagai lokasi kejohanan.
Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee berkata, ini merupakan kejohanan antarabangsa yang termasuk dalam kalendar Persekutuan Woodball Antarabangsa.
Menurut beliau, kejohanan anjuran bersama Persatuan Woodball Malaysia dan Persatuan Woodball negeri Perak itu akan berlangsung di padang Taman Dr. Seenivasagam, di sini.
“Sebanyak sembilan negara mengesahkan penyertaan antaranya China, Taiwan, Indonesia, Jepun dan Hong Kong dengan kira-kira 100 peserta.
“Sebagai tanda sokongan kerajaan negeri turut menyumbangkan sebanyak RM15,000 bagi menjayakan kejohanan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di pejabat beliau di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Thomas Kok dan Presiden Persatuan Woodball negeri Perak, Abdul Rauf Dimin.
Sementara itu, kata Abdul Rauf, kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM26,000 menerusi lapan kategori melibatkan 10 acara.
Menurutnya, berdasarkan pencapaian semasa pasukan negara dijangka mampu merangkul pingat emas bagi acara iaitu berpasukan lelaki dan wanita serta individu.
“Kejohanan ini merupakan persediaan bagi pemain kita untuk beraksi pada Kejohanan Woodball Dunia tahun hadapan yang mana Malaysia selaku tuan rumah.
“Pada masa sama kita juga ingin mempromosikan sukan ini kepada masyarakat setempat khususnya pada peringkat sekolah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











