IPOH 23 Julai – Tiada rancangan untuk mengharamkan pengggunaan beg plastik di semua pejabat kerajaan negeri kerana ia mempunyai beberapa implikasi untuk dilaksanakan selain kesukaran tertentu.
Namun, usaha untuk mengurangkan penggunaan beg plastik adalah lebih efektif melalui pendidikan dan penerapan kesedaran secara berterusan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, salah satu usaha adalah melalui pelaksanaan program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).
Menurut beliau, antara objektifnya ialah untuk mempertingkatkan tenaga dan kitar semula melalui tagline ‘Go Green’.
“Sebagai contoh, pelaksanaan EKSA tidak menggalakkan penggunaan hiasan pokok bunga plastik selain penggunaan kotak kitar semula.
“Namun demikian, peluasan pengurangan penggunaan plastik secara keseluruhan akan dikaji dengan lebih lanjut untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Ko Chung Sen (DAP-Kepayang) berhubung mengharamkan penggunaan beg plastik di semua pejabat kerajaan negeri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Dalam pada itu kata Abdul Aziz, pihaknya juga mencadangkan untuk memasukkan ke dalam syarat pelesenan bagi menggalakkan penggunaan produk biodegradasi kepada kesemua premis perniagaan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan meningkatkan lagi kerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan kitar semula termasuk pada peringkat sekolah.
Menjawab soalan tambahan berhubung jumlah permit yang dikeluarkan kerajaan negeri kepada syarikat kitar semula, kata Abdul Aziz ketika ini sebanyak 140 syarikat diberi kelulusan.
“Daripada jumlah itu Majlis Bandaraya Ipoh mengeluarkan 39 lesen, Batu Gajah (36), Kerian (18) dan Manjung (14).
“Manakala tiada lesen dikeluarkan di Perak Tengah, Pengkalan Hulu dan Selama,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











