Perak tak mahu harapkan tuah - Utusan Malaysia

Perak tak mahu harapkan tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim mengharapkan barisan pemain skuad The Bos Gaurus memberikan komitmen yang terbaik tanpa mengharapkan sebarang keajaiban menjelang aksi final Piala FA berdepan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Jelasnya, dia dan rakan sepasukannya tidak boleh sentiasa mengharapkan tuah se­perti apa yang telah berlaku ketika Perak mencipta kebangkitan ke atas Terengganu FC I (TFC I) pada final Piala Malaysia 2018 untuk muncul juara.

Nazirul memberitahu, skuad Perak perlu berjaga-jaga dengan barisan pemain muda skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila ber­ada di pentas final.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kali ini kami perlu memberikan sepenuh tumpuan.

“Membenarkan lawan menjaringkan gol kemudian mengharap­kan tuah atau aksi magis untuk melakukan kebangkitan bukanlah suatu yang mudah.

“Sebagai pemain, kami perlu fokus serta berwaspada dengan kekuatan lawan kerana seperti kita tahu Kedah menunjukkan kualiti yang tersendiri dalam saingan liga musim ini.

“Pada masa sama, setiap pemain perlu memberikan komitmen terbaik bagi memastikan trofi akan dibawa pulang ke Ipoh kerana sudah sekian lama Perak tidak merasai nikmat kemenangan Piala FA selepas kali ter­akhir dilakukan pada 2004,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, Nazirul mengharapkan aksi final berkenaan mampu ditamatkan dalam tempoh 90 minit kerana apa sahaja boleh berlaku pada masa tambahan ataupun penentuan sepakan penalti selain tuah tidak akan selalu memihak kepada mereka.

“Sebagai pemain sudah semestinya kami mahu menamatkan saingan dalam tempoh masa 90 minit sahaja.

“Sebolehnya kami tidak mahu episod Piala Malaysia tahun lalu kembali berulang apabila perlawanan terpaksa diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti,” jelasnya.

Selain meraih kejuaraan Piala Malaysia tahun lalu biarpun ketinggalan dua kali, tuah juga sentiasa mengiri­ngi Perak apabila mereka hampir kempunan ke aksi final kali ini selepas tewas 1-3 pada aksi pertama menentang Pahang, namun bangkit di Ipoh untuk layak dengan agregat 4-3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini